Tuesday, November 9, 2010

Pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA



Salam,

Saya berkesempatan untuk menghadiri sidang media bagi pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA pada pukul 1 tengahari semalam 8 November 2010 di Hospital Pakar Al Islam, Kg Baru. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

Diharapkan, dengan pelancaran tabung ini lebih ramai yang akan dapat menghulurkan bantuan untuk membantu saudara kita di Utara Semenanjung. InsyaAllah.

DR. Abdul Razak Kechik (tiga dari kanan) bersama Aziz Ishak (tiga dari kiri) serta sukarelawan badan itu memasukkan wang derma ke dalam tabung Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA yang dilancarkan di Hospital Pakar Al-Islam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Khairil Annuar Khalid (kanan) dan Dr. Shahrizal Azwan Bin Samsudin (tengah)

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Prihatin dengan nasib mangsa banjir di utara tanah air, Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) hari ini melancarkan Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA untuk membantu mereka.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (gambar) berkata, pelancaran dana itu diharap menarik perhatian rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, walaupun keadaan banjir beransur pulih, namun mangsa- mangsa masih memerlukan bantuan untuk memulihkan kehidupan mereka akibat kerosakan yang dialami semasa bencana itu berlaku.

"Ia merupakan tanggungjawab bersama untuk membantu mereka ketika dalam kesusahan akibat bencana itu. Saya juga percaya rakyat Malaysia yang prihatin akan bermurah hati menghulurkan bantuan dengan ikhlas bagi membantu mereka,'' katanya.

Majlis pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRAD itu disempurnakan secara bersama oleh Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak di Hospital Pakar Al-Islam di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Masud; Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid dan Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd. Ridzwan Md. Iman.

Sumbangan untuk dana itu boleh dimasukkan ke akaun Maybank MRA iaitu 564098206365 atau menghubungi talian 03-26972007 atau layari laman web www.mra.my.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, objektif penubuhan dana itu adalah untuk meringankan beban mangsa banjir terutama penduduk kawasan luar bandar.

"Sekurang-kurangnya RM200,000 diperlukan untuk membantu penduduk di beberapa buah negeri itu," katanya.

Menurutnya, bantuan tertumpu kepada keperluan semasa dan ketika proses pemulihan berikutan banyak barangan mangsa musnah.

"MRA juga komited untuk meneruskan bantuan dengan menyediakan tiga pusat bantuan yang akan menyediakan makanan yang dimasak, bekalan air bersih, kit kebersihan serta peralatan membersihkan rumah.

"Malah MRA juga akan menghantar pasukan perubatan untuk memberi rawatan dan pendidikan kesihatan kepada mangsa banjir selain membantu melakukan pembersihan rumah penduduk yang dijangka berterusan untuk beberapa minggu," katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, penubuhan dana tersebut dapat membantu mengurangkan tekanan akibat kerosakan tempat tinggal dan punca rezeki termasuk kemusnahan tanaman selain kekurangan keperluan asas akibat banjir.

"Penubuhan dana ini merupakan usaha murni Utusan dengan MRA yang prihatin terhadap penderitaan masyarakat," katanya.

Dr. Ishak pula berkata, pelancaran dana terbaru itu adalah satu lagi kerjasama antara MRA dengan Utusan selepas kali pertama diadakan dalam misi bantuan mangsa banjir di Pakistan.

''Kami bersyukur dan gembira kerana sekali lagi mendapat kepercayaan Utusan untuk terus menjalin kerjasama murni ini dalam menjayakan misi kemanusiaan tanpa mengira kaum, agama mahupun pegangan politik,'' kata Dr. Ishak.

MRA ditubuhkan pada awal 2009 dengan dibarisi ahli jawatankuasa berpengalaman dalam bidang kemanusiaan.

Sejak banjir melanda utara Semenanjung minggu lepas, MRA menghantar 50 sukarelawan yang membawa bantuan kecemasan bernilai RM60,000.

No comments:

Related Posts with Thumbnails