Thursday, July 31, 2008

Dr Azwan Di Sinar Harian


Assalamualaikum,
Assalamualaikum,

Ini artikel saya yang disiarkan di suratkhabar Sinar Harian pada 3 minggu lalu berkenaan dengan tatu dan bertindik yang boleh mengancam kesihatan. Walaubagaimanapun hanya separuh sahaja artikel ini saya siarkan di dalam blog kerana tidak dapa me"scan" keseluruhan artikel yang berada di page seterusnya.


Salam.

Tuesday, July 29, 2008

Berniaga Kuih Raya...






Assalamualaikum,

Early bird gets the worm. Itu pepatah orang puteh tu dan ada betulnya juga. Kalau kita bergerak awal untuk merebut peluang, maka hasil dan keuntungannya juga banyak. Tapi kalau terlalu awal sangat pun... saya berasa janggal juga.

Semalam saya mendapat sms daripada seorang ejen kuih raya saya yang bertugas di Hospital PUSRAWI. Ejen saya ni menjual berbalang2 kuih raya yang saya buat tahun lepas dan menjadi ejen utama saya di PUSRAWI.

Sekiranya anda masih tidak mengenali Hospital PUSRAWI, ia sekarang menjadi bualan hangat. Maklumlah seorang doktor di PUSRAWI telah memeriksa kawasan sulit seorang lelaki muda (musang) yang mengaku diliwat oleh seorang pemimpin besar di dalam sebuah parti pembangkang. Doktor itu pula dikatakan disiasat oleh polis selepas itu dan dikatakan sudah menghilangkan diri. Ramai yang berpendapat kredibiliti musang kita sudah mula terjejas dengan tersebarnya laporan ini.

Berbalik kepada soal ejen kuih raya saya tadi. Saya amat terkejut kerana seorang kawannya telah mula mengedarkan sampel kuih raya sejak minggu lepas!

Wah... saya juga terkejut. Awal betul! Ni baru bulan 7, puasa pun lama lagi. Tahun lepas saya mula mengedarkan kuih pada minggu pertama puasa. Maklumlah, bulan puasa dah menjelma, patutlah kalau diedarkan kuih raya pun. Itupun tak menang tangan orang mengorder. Sampai 5 hari nak raya pun ada yang sibuk tambah order.

Patutlah sejak kebelakangan ini, ramai yang menelefon saya menanyakan bila saya ingin siapkan sampel. Saya sebenarnya sedang mengira-ngira kos dan menu kuih raya tahun ini. Saya akan mulakan pada awal Ogos bulan depan kerana saya sedang menunggu 3 orang pekerja yang akan tiba dari Pahang minggu hadapan.

Apa pun saya terpaksa mengubah jadual pengeluaran kuih raya lebih awal. Mungkin pada minggu pertama bulan Ogos ini kerana permintaan daripada ejen kuih raya yang meningkat. Di kala harga minyak yang ketara secara ketara, saya menjangkakan jualan kuih raya akan menurun tahun ini. Mari kita sama-sama melihat kesudahannya.

Wallahu A'lam.

Thursday, July 24, 2008

Saya nak jual Kereta Perdana V6 saya.




Assalamualaikum,

Selepas segala kekecohan tentang kereta Perdana V6 yang penuh dengan persoalan dan kemungkinan, saya membuat keputusan untuk menjual kereta perdana V6 saya tu. Ada kemungkinan saya akan ikut kerajaan negeri Selangor untuk membeli kereta Toyota Camry ataupun mungkin lebih murah daripada itu seperti Viva sahaja atau mungkin cukup dengan satu kereta sahaja.

Saya ingin mengikut jejak MB Terengganu yang tidak mahu memakai lagi Perdana V6. Apatah lagi setelah mendengar bahawa kerajaan negeri Terengganu terpaksa membayar kepada syarikat repair kereta RM 230,000 untuk bayaran maintenance kereta Dato Idris Jusoh. Ia bersamaan 2 biji kereta Perdana V6 yang baru!

Bagaimana pula dengan harga maintenance kereta Perdana V6 Pak Lah dan Tok Najib? Takkan bekas Menteri Besar Terengganu itu lebih sibuk daripada PM dan TPM kita sampai terpaksa menggunakan keretanya sepenuh masa. Rosak barak kereta tuh sampai kena 15 kali tukar gear box agaknya. (1 gear box original tukar dengan upah RM 8000).

Atau sememangnya teruk sangatkah kualiti kereta perdana V6 kita? Saya dah pakai Perdana V6 selama 3 tahun. Saya pernah tukar gear box sekali dan bunyi enjin dia pada waktu pagi memang sedikit bising. Namun saya lebih selesa pakai MPV Nissan Serena buruk saya tuh kerana maintenancenya lebih rendah dan lebih lasak.

Saya tak pandai langsung bab teknikal kereta. Mujur ada adik ipar saya sebagai engineer di Proton. So, kalau nak tanya apa-apa pasal kereta, dia adalah tempat rujukan saya. Memang pada pandangan dia, enjin proton pada suatu waktu dahulu sangat teruk kualitinya. Malah dahulu dia pernah mencadangkan untuk membeli kereta Perodua daripada membeli proton. Namun menurutnya sekarang, kereta keluaran generasi terkini Proton lebih baik dari segi enjin dan design daripada sebelumnya.

Jadi ada dua isu di sini. Pertama saya perlu jual kereta perdana V6 saya kerana saya tak nak masalah MB Terengganu menjadi masalah saya. Keduanya saya juga nak tahu kenapa maintenance kereta perdana Dato' Idris Jusoh mencecah RM 230,000 dan adakah maintenance kereta perdana V6 Pak Lah, Tok Najib dan semua para menteri juga mencecah kepada angka yang sama.
** Saya ingin menjual Perdana V6 saya WME 900 tahun 2001 - Harga RM 36,000. Semua cantik, guna pergi balik kerja sahaja **.

Wallahu Alam.


Tuesday, July 22, 2008

KURSUS TERNAKAN CACING SECARA KOMERSIAL


Assalamualaikum kepada Semua Pembaca Yang Dihormati,

Ramai yang ingin menternak cacing dan menjadi usahawan baja kompos dan cacing tetapi tidak tahu dan tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Yang paling penting anda perlu tahu kenapa anda menternak cacing? Apakah penghasilannya? Saya dapati ramai yang membeli cacing tetapi keliru tentang hasil produknya dan apakah pulangan kepada pelaburannya?

Ramai yang sudah menempah cacing daripada saya dan saya dapati mereka masih lagi tidak bersedia. Mereka telah datang kursus tetapi mereka masih tidak pasti bagaimana untuk menyediakan makanan cacing atau mengasingkan kompos. Ramai juga yang mengeluh kenapa cacing mereka mati? Kebanyakan hanya tahu teori... bagaimana dengan praktikal?

"Sesiapa yang inginkan dunia maka dia perlu mempunyai ILMU, Sesiapa yang inginkan Akhirat maka dia perlu mempunyai ILMU, Sesiapa yang memerlukan kedua-duanya maka dia perlu mempunyai ILMU".

Maka ilmu ini perlu merangkumi teori dan praktikaliti.

Sebelum menternak cacing, anda perlu fahami :-
1. Cacing dan jenis-jenisnya
2. Anatomi dan sistem fisiologi cacing (secara ringkas) untuk mengetahui struktur tubuh, sistem peredaran darah, pernafasan, pembiakan dan proses pertinjaan.
3. Bagaimana survival kehidupan cacing
4. Bagaimana cara menternak cacing secara komersial
- pemilihan lokasi
- pembuatan kandang
- penyediaan makanan atau medium
- pemilihan induk
- pembiakan induk
5. Hama dan musuh cacing
6. Penuaian
7. Analisa hasil penternakan
8. Tips-tips untuk menjayakan penternakan
9. Praktikal di tapak penternakan
10. Membuat jaringan perniagaan

Oleh hal yang demikian, saya ingin menganjurkan satu kursus penternakan cacing ini dengan kerjasama Syarikat Agro Tech - satu syarikat penternakan cacing dan pembuatan makanan cacing di Saujana Utama, Sungai Buloh.



Kursusnya adalah seperti berikut :-

Tarikh : 14 hb Disember 2008 (Ahad)
Masa : 8.45 pagi hingga 4 petang
Tempat : Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor
Bayaran : RM 300.00 sahaja
Hubungi : Dr Azwan 012-9597074 @ abiteha@yahoo.com


Kelebihan Kursus
Modul akan disediakan sepenuhnya.
Praktikal di tempat penternakan.
Kontrak Farming untuk pembelian induk dan baja disediakan.
Tawaran menjual cacing dan makanan cacing dengan harga istimewa.


Sekiranya anda berminat - anda boleh hantar email atau hubungi saya pada email abiteha@yahoo.com atau telefon 012-9597074.

Sila sertakan Nama, No Kp, alamat email dan cara untuk menghubungi anda bagi saya menghantar gambar peta tempat kursus. Pilih tarikh yang mana satu anda ingin sertai.

Pembayaran boleh dibuat melalui bank transfer ke akaun Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
Maybank Current Ac : 564388100840

Sila simpan resit anda atau emailkan bukti penghantaran kepada saya selepas membuat bayaran.

Ambil peluang ini untuk menyertai kursus dengan harga yang berpatutan dan akan membawa anda ke mercu kejayaan. Jumpa di sana!..

012-9597074

Monday, July 21, 2008

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Perawatannya




Assalamualaikum,

Baru-baru ini diumumkan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau HFMD telah menular di kawasan Taman Tun Dr Ismail. Saya sendiri di klinik Idzham, telah merawat beberapa orang kanak-kanak yang menghidapinya dan telah memberikan cuti yang lama dari sekolah.

Marilah kita sama-sama berkongsi pengetahuan tentang penyakit yang pernah menjadi endemik di Sarawak dan Johor sesuatu ketika dahulu dan menyebabkan lebih 30 kematian.

Artikel tentang HFMD ini adalah dirujuk daripada garispanduan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kes HFMD.



Definisi dan Penyebab

HMFD ialah jangkitan melalui sejenis virus dipanggil enterovirus, atau virus yang biasa terdapat di dalam usus. Contoh virus yang menjangkiti manusia ialah poliovirus, Coxsackie virus A dan B, echovirus dan enteroviruses 68-71.

HFMD boleh disebabkan oleh coxsackievirus A16, A5, A9, A10, B2, B5 and enterovirus 71. Coxsackievirus A16 (Cox A16) adalah penyebab paling biasa HFMD tetapi yang paling tidak bahaya.

HFMD disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah lebih merbahaya dan menyebabkan kematian. Ini adalah disebabkan oleh jangkitan selaput otak (meningitis), Jangkitan otak (encephalitis), masalah jantung (myocarditis) dan jangkitan paru-paru berair.


Cara jangkitan

HFMD mudah berjangkit. Jangkitan dapat merebak daripada manusia ke manusia melalui sentuhan melalui cairan hidung dan mulut, air liur, cecair daripada lepuh tangan dan kaki, dan najis mereka yang dijangkiti. Seseorang pesakit paling mudah menjangkiti orang lain dalam waktu seminggu terkena jangkitan.


Gejala Penyakit

HFMD datang dengan tumbuh ruam dan lepuh di tangan dan tapak tangan (macam berair atau ruam merah), penggelangan tangan, kaki dan juga kawasan mulut. Kebiasaannya, hampir kesemua kes mempunyai ruam di tangan, tetapi hanya 90% sahaja kes yang mempunyai ruam di dalam mulut. Adakalanya hanya ruam di tangan sahaja yang timbul jika dijangkiti HFMD tanpa ruam2 di kawasan yang lain.

Dalam masa yang sama, pesakit boleh mendapat demam, rasa lenguh-lenguh badan, sakit kepala, jangkitan mata, sakit perut dan kadang-kadang cirit birit.

Di antara banyak virus penyebab HFMD, virus yang disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah paling merbahaya. Demamnya adalah lebih tinggi (39 darjah ke atas) dan lebih daripada 3 hari. EV71 adalah penyebab kematian 27 orang kanak-kanak di Sarawak daripada 34 kematian pada tahun 1997.

Perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anak anda menghidap HFMD:-

. Demam Tinggi.
• Penat dan lemah.
• Tidak mahu makan dan kurang kencing.
• Bernafas kencang.
• Muntah-muntah.
• Nampak mengantuk, pening dan cepat marah dan menangis.
• Sawan


Perawatan HFMD.

HFMD biasanya tidak bahaya dan hilang sendiri. Kebanyakan kes tidak perlukan kemasukan ke hospital dan hanya perlu dirawat sebagai pesakit luar sahaja.

Perawatan simptomatik diperlukan oleh kebanyakan pesakit HFMD. Ini bermaksud menurunkan demam, mengurangkan kesakitan seperti sakit kepala dan sakit badan, Meningkat hidrasi pesakit dan perlukan rehat yang secukupnya. Gel kebas boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut.

ANTIBIOTIK tidak perlu digunakan di dalam kebanyakan kes.

Pesakit perlu diasingkan daripada kanak2 yang lain.

Bilakah pesakit perlu dimasukkan ke Hospital?
- Apabila pesakit tidak boleh makan dan minum dan perlu dimasukkan air melalui salur darah
- Kelihatan lemah dan teruk, kelihatan toksik
- Jika demam tidak berkurang dan tinggi (38 dan 39 darjah sentiasa) lebih daripada 4 hari
- Bila doktor menjangka terdapat jangkitan kepada kawasan otak menyebabkan kanak-kanak meracau, serangan sawan, kepenatan melampau, tidak peka terhadap persekitaran.
- Bila terdapat masalah jantung seperti gangguan bunyi jantung, tekanan darah rendah.

Masih TIADA vaksinasi untuk penyakit ini pada waktu ini.


Elakkan Jangkitan!

Adalah penting untuk anda membasuh tangan dengan menggunakan sabun setiap kali anda menukar lampin anak-anak yang terkena HFMD.

Anda juga boleh menggunakan air dan sabun (ada yang cadangkan menggunakan Clorox) untuk membersihkan lantai, mainan, pakaian dan lampin yang terkena najis atau air liur mereka.

Jangan bawa anak anda ke tempat terbuka seperti kolam renang atau kompleks membeli belah. Sekolah dan nurseri juga perlu dielakkan untuk mengelakkan jangkitan merebak.


Jangan Panik

Sekiranya andak anda terkena jangkitan, usah panik. Kebanyak HFMD tidak merbahaya dan pulih sendiri. Apatah lagi sekiranya anak-anak anda tiada demam, selera makan adalah biasa dan nampak ceria sahaja walaupun terdapat ruam di mulut dan tangan.

Dapatkan nasihat doktor di klinik yang berhampiran dan elakkan jangkitan kepada anak-anak yang lain.

Wallahu A'lam.

Ditulis oleh Dr Azwan untuk http://www.drazwan.blogspot.com/

Friday, July 18, 2008

Program Kesihatan Bersama Golongan Asnaf di Bangi





Assalamualaikum,

Pada 12 hb Julai yang lepas, satu program pemeriksaan kesihatan untuk golongan Asnaf telah dijalankan oleh Biro Kesihatan ABIM dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM (IOA). Progran pemeriksaan kesihatan ini diadakan di rumah anak-anak yatim ar-Rukaiah yang terletak di depan Institut Perguruan Islam (nama lama MPI), Bangi.

Rumah anak yatim ini adalah hasil usaha Islamic Outreach ABIM yang ditubuhkan pada tahun 2006 untuk membantu golongan anak-anak yatim yang kurang berkemampuan. Terdapat 30 orang anak-anak yatim yang tinggal di sini. Kebanyakannya adalah adik beradik.

Program Pemeriksaan Kesihatan ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya menjaga kesihatan kepada golongan anak-anak di dalam umur 8 tahun sehingga 14 tahun ini.

Program dimulakan dengan ceramah kesihatan oleh Dr Maryati dengan tajuknya "Membasuh Tangan". Dr Maryati adalah seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Ampang dan mempunyai banyak pengalaman sebagai doktor di Jabatan Peadiatrik. Beliau menjadi aktivis Biro Kesihatan ABIM sejak tahun 2006. Ternyata, ceramah tersebut mendapat perhatian yang sepenuhnya daripada para pendengar "kecil" ditambah pula dengan praktikal membasuh tangan secara betul.

Setelah itu, program diteruskan dengan pemeriksaan kesihatan kepada semua anak-anak oleh tiga orang doktor iaitu Dr Maryati, Dr Azlina dan saya. Dr Azlina adalah Pegawai Perubatan yang merupakan Sarjana tahun akhir (Master) di dalam bidang Anaesthesia, HUKM. Pemerhatian ditumpukan kepada jangkitan kutu kepala, penyakit kudis buta, penyakit-penyakit kulit yang lain dan kecacingan. Ubat diberi kepada mereka yang terjangkit.

Penyakit kutu kepala atau pediculous capitis tidak boleh dielakkan sekiranya mereka tinggal beramai-ramai di kawasan yang sempit dan penjagaan kebersihan diri yang tidak optimum. Ini kerana fakta bahawa kutu kepala mudah merebak dan berjangkit sekiranya tinggal bersama. Begitu juga dengan kudis buta dan penyakit jangkitan kulit seperti impetigo.

Kita juga bertuah kerana dua orang adik pelajar perubatan tahun dua iaitu Saudari Siti Hajar (tiada dalam gambar) dari Universiti Sumatera Utara (USU) sudi bersama-sama sebagai sukarelawan untuk menguruskan ubat-ubatan dan menguruskan timbang berat peserta.

Sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru iaitu Cik Nida yang bertugas sebagai pegawai di Nestle banyak membantu memberi nasihat kepada adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh. Beliau juga menguruskan perjalanan program agar berjalan lancar. Tanpa beliau tentu program menjadi kelam kabut.

Saudara Nor Azam (tiada dalam gambar) yang merupakan pegawai kewangan di sebuah syarikat swasta juga sebagai sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru, bertindak menguruskan fotografi. Beliau dengan kapasitinya menderma beberapa kampit beras dan makanan untuk anak-anak yatim kita.



Dr Maryati sedang menunjukkan cara membasuh tangan yang betul kepada adik-adik. Semua pening... Maklumlah selama ni cara mereka membasuh tangan tidak mencapai piawai yang telah ditetapkan oleh Dr Maryati.


Dr Azlina, Saya dan Dr Maryati sedang sibuk melayan kerenah anak-anak. Budak-budak lelaki lebih suka mengerumuni saya. Mungkin sebab terlalu macho... ehem..


Semua kanak-kanak yang sedang asyik mendengar ceramah Dr Maryati... kecuali seorang budak pakai tudung hitam tu..

Ya. Teringat waktu kita kecik-kecik dulu kan. Diorang ni tak ada mak ayah yang nak tolong carikan kutu dan telur kutu di atas kepala diorang. Ini jelah yang termampu nak buat.


Antara ubat-ubat yang disediakan untuk anak-anak ini. Antaranya adalah ubat cacing, ubat demam, batuk dan selsema, serta multivitamin.



Tidak putus dengan senyuman dan harapan walaupun tanpa ayah dan ibu.

Saudari Nida bertudung biru di sebelah Dr Azlina dan anaknya sedang berehat setelah melaksanakan tugas.


Program ini Alhamdulillah sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua termasuk anak-anak yatim kita. Saya selaku pengarah program ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat termasuk Saudara Khaidir dan Saudara Helmi dari Islamic Outreach ABIM yang memastikan bahawa program ini mencapai sasarannya.

Kepada sesiapa yang ingin bersedekah dan beramal jari'ah terutama ketika bulan Ramadhan semakin menghampiri anda bolehlah menghubungi IOA Bangi 03-89267176 atau Saudara Helmi sendiri 012-5774873 untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim yang memerlukan.

Salam.

Thursday, July 17, 2008

DEBAT II - " HARI INI MEMBENTUK KERAJAAN, ESOK HARGA TOL TURUN! "





Assalamualaikum,

Kehangatan debat yang lepas belum lagi berkurang. Masih ramai lagi yang memperkatakannya. Ada yang berpuas hati, ada yang tidak berpuas hati.

Kalau dengar radio 24 pada satu hari selepas debat tersebut, survey menunjukkan hampir 60% responden percaya bahawa debat tersebut telah banyak memberi penerangan kepada rakyat tentang harga minyak dan mekanisme untuk menurunkan harga minyak. Dan saya rasa 90% merasakan bahawa penjelasan DSAI adalah baik dan difahami dan mungkin hampir 80% tidak bersetuju dengan cara Dato Shabery berhujah menyerang peribadi DSAI dan lari daripada persoalan.

Walaubagaimanapun. bak kata Dato' Shabery, beliau amat berbangga bahawa kerajaan yang memerintah lebih terbuka daripada kerajaan dahulu di dalam memberi ruang untuk para pembangkang dan di pihak kerajaan untuk bersama-sama berbincang dan berdebat di dalam isu semasa.

Oleh itu, perlu lebih banyak debat terbuka secara langsung seperti ini perlu diadakan berkenaan isu yang melibatkan seluruh rakyat terutama dengan masalah ekonomi yang kian meruncing.

Apakata tajuk debat yang seterusnya ialah "HARI INI MEMBENTUK KERAJAAN, BESOK HARGA TOL TURUN!".

Wah.. dan saya ingin cadangkan Saudara Salahuddin Ayub atau Saudara Mahfuz Omar dari PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat yang mempunyai kredibiliti dan "witts" yang sangat-sangat tinggi. Kalau di pihak kerajaan mungkin Dato' Najib pula boleh menjadi wakil di pihak Kerajaan atau Dato Nazri Aziz kerana Dato' Nazri memang petah bercakap dan cakap2nya pedas juga. Menteri Kerja Raya yang baru mungkin tak sesuai untuk menjadi penceramah. Menteri Kerja Raya yang lama boleh menjadi tetamu istimewa untuk bertanyakan soalan.

Oleh kerana hal TOL ni sudah begitu lama, apakata kita panjangkan sedikit debat ini kepada dua jam. Datuk Johan Jaafar boleh menjadi moderator tetapi kalau boleh biarlah sedikit menegur kepada sesiapa yang lari dari tajuk. Jangan buat macam debat lepas. Menjatuhkan reputasi Dato' yang sangat-sangat dihormati.

Kita boleh adakan sebulan dari sekarang. Justeru, mintak sapa-sapa yang kenal hubungi Agenda Daily untuk memanjangkan cadangan ini. Mungkin kita dapat nilai adakah sebenarnya TOL ini dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali atau sewajarnya kita terpaksa juga menerima hakikat bahawa harga tol akan naik tidak lama lagi di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada.

Salam.
Ditulis oleh Dr Azwan untuk www.drazwan.blogspot.com.

Tuesday, July 15, 2008

Tahniah Kepada Peserta Debat!




Assalamualaikum,

Saya baru sahaja mendengar debat di antara DSAI dan Dato Sabery di radio 24. Kedua-dua pendebat sama hebat sama kuat. Cuma isi sahaja nampak berat sebelah.

Kalau anda biasa lihat debat Ahmad Deedat dengan seorang pastor di Stockholm suatu waktu dulu yang bertajuk "Is Bible is the true word of God", anda akan dapati bahawa kedua-dua pendebat sama hebat. Yang membezakan keduanya adalah isi. Ahmad Deedat berdebat penuh dengan isi dan caranya yang tersendiri. Manakala yang seorang lagi kurang berisi, berdasarkan rasional sahaja dan sering menghentam peribadi.

Saya nampak DSAI bijak menjawab soalan-soalan yang diberikan dan nampak begitu rasional dan tenang. Dato' Sabery juga begitu, cuma kadang2 adakalanya tidak menjawab soalan, sedikit lari dari premis dan banyak mengehantam peribadi. Tetapi itu mungkin taktiknya.

Apa pun kematangan kerajaan untuk membenarkan debat ini berlangsung secara live amat-amat dihargai. Ini adalah satu cara kerajaan menunjukkan kepada para pengundi dan rakyat bahawa mereka semakin terbuka adalah satu langkah yang sangat bijak.

RTM 1 tidak menyiarkan debat ini. Kenapa saya pun tidak pasti. Mungkin juga takut petani di Kedah atau nelayan di Terengganu melihatnya secara langsung juga. Apa pun, kita sendiri sudah maklum, mereka juga akan lambat laun mengetahuinya melalui anak-anak mereka yang bekerja di Kuala Lumpur atau cakap mulut atau melalui blog-blog dan internet streaming yang lain.

Saya amat berharap bahawa debat "presidential style" ini akan diteruskan terutama apabila tiba pilihanraya nanti terutama disiarkan di saluran utama RTM 1 dan Radio RTM. Saya juga berharap semoga Dato' Sabery dikekalkan tugasnya sebagai Menteri Penerangan oleh PM kerana kerana beliaulah lebih banyak saluran kepada parti alternatif dapat dibuka dan kebebasan kepada semua pihak dapat dijayakan dengan lebih adil walaupun pada pandangan saya beliau di dalam debat tadi lebih banyak "berpusing-pusing di sekeliling belukar".

Part 1 - Debat Harga Minyak


Part 2 - Debat Harga Minyak


Saya juga berharap, isi yang disampaikan oleh DSAI diambil iktibar oleh pihak kerajaan untuk memikirkan kembali bebanan rakyat semasa, terutama cadangan menurunkan harga RM 0.50 kerana Petronas baru sahaja mengumumkan keuntungan RM 90 bilion lebih. Maka, tidak kurang walaupun sedikit sekiranya diambil sekadar 2 billion untuk meringankan golongan sederhana dan kurang berkemampuan ini.

Tahniah kepada semua. Saya yakin persepsi negatif bahawa debat ini tidak bermanfaat adalah sesuatu yang salah. Dengan adanya pendedahan seperti ini bermulalah satu senario baru keterbukaan kerajaan terhadap idea dan pandangan semua pihak.

Walaupun begitu, ulasan berita terhadap debat itu yang menonjolkan hanya Dato' Sabery seolah-olah pemenang debat dan idea DSAI sebagai pendekatan populist di TV3, Radio Bernama dan semua stesen media di dalam sidang berita masih menunjukkan bahawa sistem penyiaran Malaysia tidak objektif dan masih berpihak.

Cuba baca artikel blogger lain di sini :
1. Anwar menang debat
2. Debat : satu dalam sejarah
3. Debat Minyak Anwar-Shabery
4. Dato Salleh Majid lebih Hebat dari Anwar-Shabery
5. Hebatnya berdebat
6. Debat oh Debat - Kecewa rasanya
7.Tahniah Menteri Penyerangan dan Professor Kangkung

Wallahua'lam.

Monday, July 14, 2008

Awas Taktik Kotor Penjual Rumah!






Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda satu isu kepenggunaan yang sangat penting iaitu isu pembelian rumah yang saya dengar daripada ruangan "konsumer" kelolaan saudara Mazlan di Radio 24. Saudara Mazlan telah menemurah En Darshan dari Bahagian Aduan Jabatan Perumahan (Maafkan saya kalau silap). Ada beberapa perkara yang saya kira semua pembaca patut tahu ketika membeli rumah agar tidak diperdaya dan ditipu oleh ejen penjual.

Isu ini penting kerana sebagai pengguna yang bijak kita mesti mengetahui beberapa undang-undang ketika membeli rumah. Kejahilan undang-undang boleh menyebabkan kita menjadi mangsa mudah tipu helah si penjual untuk mengaut keuntungan. Seperti yang saya sebutkan dulu, membeli rumah adalah satu pelaburan yang mungkin menyebabkan kita terhutang seumur hidup. Oleh itu apa salahnya kita menambahkan sedikit ilmu sebelum kita membuat pelaburan ini.


BAYARAN TEMPAHAN

Booking fees atau pembayaran untuk tempahan adalah trend baru pemaju perumahan untuk memastikan bahawa si pembeli meletakkan jaminan bahawa dia akan membeli unit tersebut. Ada pemaju yang meletakkan 1% daripada harga rumah, ada yang meletakkan RM 1000 dan pada satu ketika saya sendiri pernah diminta meletakkan RM 5000 sebagai bayaran tempahan.


Ejen-ejen yang bijak ini menggunakan kepakaran mereka untuk si pembeli membuat keputusan pada waktu yang singkat. Sekiranya sedang berjalan-jalan di sebuah kompleks membeli belah, anda mungkin terpaksa membuat keputusan membeli kondo atau rumah tersebut pada jangka waktu itu juga. Segala teknik licik mereka menggunakan pujuk rayu itu juga menggunakan promosi khas seperti percuma "tempat meletak kereta", rebat RM 10,000 atau percuma maintenance fee selama 1 tahun dan sebagainya.

Oleh itu, ramai lah berhempas pulas untuk mencari wang untuk membayar wang tempahan, malah ada yang menggunakan kad kredit mereka sehingga 2-3 keping untuk memastikan bahawa rumah itu dapat ditempah.

Setelah itu, bila anda pulang semula ke rumah dan mendapati bahawa keputusan anda itu telah silap atau anda kurang berkemampuan, anda pasti mahukan wang anda kembali. Anda cuba menghubungi mereka untuk meminta wang anda semula.

Ejen penjual atau pemaju perumahan akan berkata bahawa sekiranya di pembeli TIDAK jadi membeli unit tersebut, maka duit tersebut akan hangus atau hanya 50% sahaja akan dikembalikan. Anda perlu faham bahawa si penjual ini mendapat komisen dengan pembelian ini, oleh itu mereka akan menggunakan segala tipu helah mereka untuk memastikan bahawa jualan itu berjaya.
Kebanyakan pelanggan yang meletakkan RM 200-300 sebagai contoh akan merelakan sahaja kehilangan wang tersebut. Bagaimana pula mereka yang meletakkan wang sehingga RM 5000? Bukankah ini mendatangkan masalah kepada si pembeli.

Mari kita lihat undang-undang berkenaan dengan hal ini. Terdapat satu akta di dalam bahagian perumahan (11.2) yang menyatakan bahawa:-

1. Pemaju atau penjual hanya boleh mengambil wang pendahuluan daripada pembeli setelah mereka menandatangani perjanjian jual beli (S&P).

2. Sekiranya penjual mengambil wang SEBELUM menandatangani apa-apa perjanjian jual beli (dalam kes ini), maka sekiranya pembeli TIDAK MAHU meneruskan pembelian, si penjual perlu memulangkan KESEMUA jumlah wang (100%) TANPA SOALAN.

3. Sekiranya si pembeli mahu meneruskan hasrat untuk membeli, wang yang dibayar tempoh hari boleh digunakan sebagai sebahagian daripada deposit.

Oleh itu, kepada anda yang sudah membayar wang tempahan, sekiranya anda dapati bahawa anda tidak mahu meneruskan, anda boleh meminta kesemua wang anda sekali (100%) tanpa perlu menyatakan sebab kenapa anda tidak mahu meneruskan. Sekiranya pemaju tidak mahu berbuat demikian anda boleh menyatakan hak anda kepada mereka dan membuat aduan kepada Tribunal Bahagian Perumahan untuk diambil tindakan.


BAYARAN PENDAHULUAN

Bayaran deposit pada kebiasaannya adalah berjumlah 10% daripada harga rumah yang dipersetujui dan dibayar selepas menandatangani perjanjian jual beli. Bayaran pendahuluan atau deposit ini berbeza-beza mengikut harga rumah. Oleh itu nilainya boleh jadi sekadar RM 4000 sehingga beratus ribu.

Mengikut akta yang ada, sekiranya pembeli telah membayar wang deposit sebanyak 10% tetapi mendapati bahawa beliau tidak layak atau tidak berjaya mendapat pinjaman daripada bank-bank berkaitan, maka, si pembeli berhak mendapatkan wang pendahuluannya semula. Ini termasuk kepada mereka yang mendapati bahawa mereka disenarai hitam di dalam CCRIS atau CTOS.

Walaupun begitu, si pembeli hanya akan mendapat semula 9% daripada jumlah 10% wang pendahuluan asalnya. Contohnya wang yang dibayar ialah RM 10,000. Si pembeli berhak mendapat semula RM 9000. RM 1000 lagi boleh diambil oleh si penjual sebagai yuran pengurusannya.

Dengan adanya undang-undang sedemikian, maka hak pembeli rumah dilindungi. Terdapat syarikat perumahan yang mementingkan keuntungan akan membuat helah untuk membuat seolah-olah undang-undang berada di pihak mereka, dan mereka yang jahil pula akan menjadi mangsa.

Salam

Friday, July 11, 2008

Ketagihan MC yang Serius.



Assalamualaikum,

Saya pernah menulis berkenaan dengan MC kira-kira 1 tahun yang lalu. Untuk anda yang telah membacanya itu adalah satu informasi untuk anda. Seperti yang saya bagitahu dahulu, MC adalah hak milik doktor yang memberi dan adalah mengikut budi bicara mereka. Ia bukan milik pesakit dan mengganggap bahawa mereka berhak mendapat MC setiap kali mengunjungi doktor.

Salah faham ini boleh mengakibatkan ada pesakit yang pakai baju cantik-cantik nak pergi berdating dengan boyfriend time waktu kerja terpaksa menahan kekecewaan yang amat sangat, kerana permohonan MC nya ditolak. Ada yang marah-marah. Ada pula boyfriend yang campurtangan sehingga terjadi kes ugut mengugut.

MC daripada klinik atau hospital swasta mempunyai nilai yang lebih ringan daripada MC daripada hospital atau klinik kerajaan. MC dari hospital dan klinik kerajaan boleh dibawa sebagai bukti di mahkamah. Oleh itu kehilangan sekeping MC di dalam wad sebagai contoh adalah seperti ayam bertelur sebiji tetapi riuh sekampung. Jangan terkejut kerana ia menjadi kes polis!

Apa yang saya ingin tulis ialah adalah berkenaan dengan satu penyakit dipanggil ketagihan MC (kalau kata tahi MC nanti ada yang marah!). MC ini seperti dadah juga, jikalau anda sudah berpaut dengannya dengan pautan yang padu maut, anda pasti akan ketagih dengannya. Itulah sebabnya adakalanya kita yang tak pernah ambil MC, tiba tiba pada satu hari pergi mengambil MC dan mendapati ingin sekali lagi mengambil MC dan keesokannya ingin lagi mengambil MC. Itu tidak mengapa, asalkan anda mempunyai sebab untuk mengambil MC.

Antara sebab yang paling valid mengambil MC adalah sakit. Saya juga katakan anda mempunyai sebab kerana saya tahu ada yang mengambil MC walaupun kerana nak pindah rumah, kereta rosak, ada interview tempat kerja baru ataupun menjaga isteri yang pening-pening lalat di rumah. Itu pada saya kalau berlaku sekali di dalam bulan biru (once in a blue moon) ok lah... siapa yang tak pernah buat. Kita kan manusia...

Masalahnya sekarang adalah ketagihan MC kronik tanpa sebab munasabah. Ada seorang lelaki pekerja insurans menjadi pesakit setia klinik saya kerana setiap bulan akan datang 2-3 kali untuk mengambil MC kerana pelbagai sebab. Ada yang sakit kepala, sakit hidung, sakit pinggang, tak boleh nak tidur dan macam-macam lagi. Dia beralih ke kllinik saya kerana klinik tempat dia bekerja tidak dapat membekalkan MC sebagaimana yang dia perlukan.

Menurutnya Doktor tempat dia bekerja mengatakan yang dia tidak layak mendapat MC kerana penyakit yang dia ada berasal daripada stress kerja nya sahaja. Ye lah, kerja mana yang tak stress kan. Menyapu sampah pun ada stressnya yang tersendiri. Oleh kerana ketagihan MC yang teruk, dia terpaksa mencari sasaran yang lain.

Untuk kali pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima saya masih boleh bertahan. Bayangkan 2-3 kali seminggu untuk 4 bulan berturut-turut!. Alasannya juga pelik-pelik dan berlainan. Tetapi lama-kelamaan saya terpaksa melawan rasa kasihan terhadapnya dan mencari jalan keluar. Tak lain dan tak bukan ialah dengan merujuknya ke doktor pakar neurologi (ingat nak refer psikiatri - tapi tak jadi). Alasan saya kerana dia mengalami sakit kepala yang kronik. Mungkin perlu dirujuk ke pakar.

Untuk pengetahuan anda, datang berulang kerana migraine dan masalah period adalah biasa bagi sesetengah pesakit. Ia bukan satu isu kerana mereka memang benar-benar sakit. Malah dengan kesakitan mereka ini, adalah tidak adil untuk saya tidak memberi MC. Anda kan tahu bagaimana teruknya kena period cramping.

Ketagihan mengambil MC ini perlu diberi kesedaran. Bukan sahaja oleh doktor yang memberi tetapi daripada kawan-kawan sekerja. Bayangkan kalau ramai mengambil MC tanpa sebab yang munasabah. Bukan sahaja produktiviti kerja terjejas, tetapi anda sendiri adakalanya terpaksa mengambil alih tugas kawan-kawan anda yang mengambil MC.

Satu contoh lagi, seorang pramugari yang bertugas di sebuah syarikat penerbangan akan terbang ke Hongkong. Pramugari ini dikenali sebagai seorang yang selalu ambil MC atau ketagih MC. Setiap kali dia mengambil MC, maka terpaksa seorang lagi pramugari "standby" ni akan menggantikannya. Apabila berlaku sekali sekala tidak mengapa, tetapi sekiranya selalu sangat berlaku, apa yang akan terjadi? Apabila diketahui pramugari yang suka MC ini bertugas, maka si "standby" pula yang akan ambil MC... jadi kalau dua-dua ambil MC, bergoncang juga syarikat kapal terbang tu.

Saya percaya mereka yang memartabatkan kerja mereka sebagai ibadah tidak akan mengambil MC sewenang-wenangnya. Perlu ada tersemat di dalam fikiran bahawa sekiranya kita kerap mengambil MC sehinga 2-3 bulan sekali selama beberapa bulan berturut-turut kerana ingin berehat-rehat tanpa sebab2 munasabah adalah satu kezaliman kepada orang lain juga. Bukan sahaja mutu kerja terjejas, malah kepercayaan orang terhadap kita juga terhakis.

Wallahu A'lam.

Thursday, July 10, 2008

Kerosakan Gigi di kalangan Kanak-Kanak



Assalamualaikum,

Saya banyak terjumpa anak-anak yang mengalami kerosakan gigi yang teruk akibat dental caries. Ada yang rosak gigi sikit-sikit jer. Ada yang terlalu teruk sehingga semua gigi tu tiada seperti dimakan ulat. Bukan seorang anak sahaja yang mengalami kerosakan gigi, tetapi hampir semua adik beradik mempunyai masalah yang serupa.

Walaupun saya bukanlah doktor gigi, tetapi kebersihan mulut ataupun oral hygiene adalah perkara yang perlu bagi seorang kanak-kanak. Saya percaya bukan doktor gigi juga mahukan kebersihan mulut yang terbaik untuk anak-anak anda.

Saya berasa sedikit sedih bila ibu-bapa mempersalahakan anak-anak akibat gigi anak-anak yang rosak.

"Itulah, malas nak gosok gigi".

"Mana tak rosak doktor, hari-hari dia makan gula-gula. Dah larang dah... bukannya nak dengar!".

Kenapa salahkan anak anda sekiranya gigi mereka rosak? Bukankah kesalahan itu sepatutnya di atas bahu anda?

Untuk peringatan anda, anak itu baru berumur 3 atau 4 tahun. Mustahil anda tidak dapat mengawal perilaku anak anda yang berumur baru berumur 3 tahun! Kalau umur 3 tahun pun dah tak boleh kawal dan tidak ada disiplin, bagaimana bila berumur 15 tahun nanti? Bukankah lebih susah untuk mengawal mereka.

Kanak-kanak memang secara semulajadinya suka makan gula-gula. Gula-gula adalah makanan pemberi tenaga dan mereka pula dalam keadaan sangat-sangat aktif. Adakah anda akan menyalahkan anak anda sekiranya mereka suka makan gula-gula atau coklat. Anda juga pernah jadi kanak-kanak dahulu, dan rasa bagaimana seronoknya kalau ibu ayah kita membelikan kita aiskrim dan gula-gula. Mana ada anak-anak yang tak suka gula-gula?

Sekiranya mereka diterapkan dengan amalan menggosok gigi pada setiap hari, saya yakin InsyaAllah tiada masalah untuk menjaga gigi anak-anak ini. Walaupun ada di antara mereka akan menangis dan mengganggu sedikit ketenteraman anda, itu adalah salah satu "side effect" menjadi ibu bapa, bukan?

Memang betul, adalah penting untuk mengawal pengambilan gula. Bukan sahaja kepada kanak-kanak kecil tetapi kepada ibu-bapa mereka juga. Ini anak-anak makan gula-gula bukan main marah sekali kita tetapi kita pula sedap-sedap sahaja menogok air coke 2-3 tin sehari. Sekiranya kita ingin mengawal penggunaan gula kepada anak-anak pastikan kita juga mengawal penggunaan gula kepada diri kita sendiri.

Jadi tabiat yang baik ini kita boleh beri contoh kepada anak-anak. Sedikit-sedikit kita akan beritahu kepada mereka akibat buruk mengambil gula secara berlebihan di dalam makanan. Dengan contoh daripada anda sendiri InsyaAllah akan ada kesannya.

Tabiat yang buruk ketika mempunyai gigi susu boleh terbawa-bawa kepada gigi kekal. Jangan nanti bila dia sudah berakal, dia akan salahkan anda pula kerana anda tidak pandai menjaga giginya semasa dia kecil.
Wallahu A'lam.

Monday, July 7, 2008

Musang Berbulu Ayam




Assalamualaikum,

Saya tertarik cerita musang ngan ayam di blog Pakdi. Musang ini tiada mengena dengan Musang yang mengaku kena liwat DSAI. Kalau terkena mungkin kebetulan sama ceritanya.

Musang ni kata Pakdi, boleh pakai baju kot berbulu ayam, makan ulat macam ayam juga, berkokok pun pandai cam ayam juga, bau pun dah macam ayam juga. Sampai kawan2 ayam cakap.. betul si Musang tu baik, dia adalah ayam yang sebenar walaupun rupanya musang.

Tapi bila sampai waktu dan ketika... dia pun tunjukkan rupa sebenarnya. Habis ayam-ayam dimakannya... Itulah musang. Ini boleh terjadi di arena politik. Boleh juga terjadi di dalam bidang ekonomi.

Maklumlah di zaman gawat ni ada banyak perogram carian duit yang tumbuh bak cendawan. Siapa nak dapat duit cepat dan sebagainya pasti ramai akan tertarik. Ramailah musang yang mengaku ayam. Jadi bacalah entri Pakdi yang menarik di dalam kisah musang berbulu ayam.
Salam.

DSAI dan Tok Najib gaduh, Pak Lah selamat...




Assalamualaikum,

Dah lama tak cerita pasal politik. Cerita pasal DSAI dan Tok Najib menjadi bualan umum. Saya pula tak beberapa nak ikut sangat sebab sibuk dengan kerja dan berniaga kecil-kecilan. Cuma bertindak sebagai pemerhati dan tukang sibuk-sibuk sahaja.

Bila cerita DSAI liwat Saiful Aw-aw (ada blogger panggil Saiful musang), saya jadi kaget sekejap. Terkejut seminit. Ini teknik lama untuk jatuhkan DSAI atau cerita benar?

Lepas tu pulak cerita statutory declaration pasal Tok Najib. Sensasi jugak walaupun bertahan kurang dari 24 jam oleh abang Bala.

Lepas tu cerita Abang Bala - yang baru nak kena timpa bala- telah menghilang. Hilang begitu sahaja dan tiada kesannya hatta DNA dan cap jari sekalipun, tidak diketahui umum dan sanak saudara. Polis pun tak tahu juga ke mana hilangnya. Mungkin di dalam custody seseorang atau organisasi, atau mungkin di bom?

Bukan dia seorang hilang, isteri dan beberapa orang anaknya pun hilang. Saya rasa semua persatuan NGO kena buat satu poster besar sebagaimana kehilangan kanak-kanak yang lepas. Lepas tu radio 24, Sinar dan radio ERA kena buat iklan - "Ke mana hilangnya lelaki comel yang tidak berdosa ini?"... "Apa dah jadi dengan masyarakat kita?..."Di manakah Abang Bala...". bla bla bla...

Pada pendapat saya, kemelut politik Malaysia ketika ini, yang terpaling gembira ialah Pak Lah dan KJ. Ini merupakan satu bentuk diversion paling berjaya (samada dirancang atau tidak dirancang) kepada Pak Lah-KJ bagi perhimpunan UMNO bulan Disember akan datang.

Kenapa ia satu diversion yang baik?

DSAI akan sibuk untuk membersihkan namanya. Bila dah banyak kali keluar TV atau berita, orang akan percaya walaupun ia mungkin fitnah. Di tambah pula dengan komen-komen peribadi ex boss, Tun Dr Mahathir. Memperkuatkan lagi alasan pemecatannya yang terdahulu. Jadi perancangan DSAI menjatuhkan kerajaan akan terhenti/terbantut seketika dan kemungkinan sukar untuk berjaya. Terutama sekiranya parti seangkatan PAS dan DAP meragui kredibiliti dan moral DSAI.

Tok Najib pula hilang popularitinya kerana masalah statutory declaration dengan skandal Altantuya. Malah kenyataan mahkamah Raja Petra dan Abang Bala memberi implikasi besar kepada karier politik Tok Najib yang menyebabkan orang ramai ragu-ragu2 terhadap moral bakal PM itu.

Pak Lah pula sering membuat statement yang selamat bagi kedua-dua pihak. Pak Lah tidak mendokong sangat Tok Najib dan dalam masa yang sama tidak menghentam DSAI. Dalam hal ni dia adalah safe figure yang keep low profile. Satu tindakan politik yang bijak. Tapi bak kata saya tadi, diversion ini mungkin satu yang terjadi tanpa dirancang, tapi saya kira karier politik Pak Lah mungkin selamat selepas peristiwa ini.

Apa pun, kita tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini dan mungkin menjadi lebih menarik.

Jualan Cacing Merah Menggalakkan



Assalamualaikum,

Cacing merah (Lumbricus Rubellus) yang saya jual mendapat sambutan di yang agak baik dan di luar jangkaan. Semalam saya berjaya menjual 16 kg cacing di kawasan Bangi dan Meru. Terima kasih diucapkan kepada pembeli. Mereka membeli untuk induk dan juga untuk baja kompos. Masih ada 4 kg lagi yang belum di hantar kepada pelanggan di Bangi. Ada juga pembeli yang ingin membeli makanan cacing atau medium.

Oleh kerana medium cacing yang dihantar tidak tahan lama, oleh itu pastikan sebelum anda membeli cacing, anda sudah membeli medium terlebih dahulu. Jangan nanti, cacing dah beli tetapi makanannya masih belum ada. Atau anda boleh beli dengan saya secara pukal dengan pesanan melebihi 100 kg.

Itu untuk penternak cacing. Tetapi untuk pembeli secara individu seperti kawan saya Neta Suryana (ummu Zufayri) dari Bangi yang telah membeli sebanyak 2 kg minggu lepas, tujuan pembelian cacingnya adalah untuk menghabiskan sisa sisa makanannya seperti sayur busuk, buah2an busuk, kulit pisang atau pizza. Ya, ini adalah cara yang biasa di buat di luar negara. Oleh itu, Sdri Neta telah berbakti kepada alam dengan mengurangkan kadar pembuangan sampah dari rumahnya. Malah, cacing merah ini boleh makan hampir apa saja termasuk habuk-habuk kayu, tahi kambing atau lembu dan kertas surat khabar!

Apa pun bagi anda yang berminat untuk membuat bisnes penternakan cacing, sudah banyak kursus yang dijalankan dan anda boleh menyertainya. Saya tidak mengadakan kursus penternakan cacing kerana saya adalah ejen pemasaran sahaja tetapi harga cacing yang saya jual adalah lebih murah dibandingkan dengan pasaran. Harga pasaran sekarang ialah RM 350- RM 550 sekg. Oleh itu anda boleh beli cacing dengan saya dan ia lebih memuaskan hati anda.

Salam

Friday, July 4, 2008

Dr Azwan di Radio 24






Assalamualaikum,

Minggu ni banyak perkara berlaku dan saya pun agak sibuk untuk update blog. Saya sudah kembali memulakan shift malam di Klinik Idzham Antarabangsa dari pukul 10 malam hingga 7 pagi. Tetapi saya masih mengekalkan shift petang 2 pm - 9 malam di klinik Idzham Kota Damansara. Jadi rutin tu agak sibuk daripada biasa.

Minggu lepas, saya ditemuramah secara rakaman di radio 24 yang dikelolakan oleh Saudari Nazira Noran dengan tajuk "boleh percaya ke tak blog ni?" dengan jemputan khasnya Dr Baha dari UiTM. Dr Baha adalah seorang pensyarah yang mengeluarkan statement bahawa tiada bukti bahawa blog-blog telah mempengaruhi keputusan pilihanraya ke 12 yang lepas. Rakaman dibuat jam 5.30 p.m. dan dimainkan ketika wawancara dengan Dr Baha pada jam 8.15 p.m.

Ini kali ke dua, saya ditemuramah di radio. Kali pertama ketika saya menjadi pengarah program Hari Terbuka Kulliyyah Perubatan UIAM di radio Pahang beberapa tahun yang lalu. Sewaktu itu saya juga adalah presiden kepada persatuan pelajar perubatan UIAM.

Alhamdulillah, saya kira mesej saya telah berjaya disampaikan walaupun sedikit gementar. Saya sebaliknya berpendapat bahawa blog ada memberi kesan kepada pengundi untuk membuat keputusan parti mana yang dipilih ketika di waktu pengundian.

Saya kira, sekiranya anak-anak muda ini tidak membaca blog, tidak mendapat idea-idea kritikal daripada blog dan hanya membaca media masa huluran kerajaan, masakan saluran 3 yang panas menjadi kayu ukur perubahan tampuk pimpinan hampir 7 negeri di Semenanjung. Dan pada kebiasaannya yang terpengaruh dengan blog adalah mereka yang di atas pagar. Golongan atas pagar ini juga adalah penentu kemenangan milik siapa.

Mereka yang membaca blog yang terdiri daripada golongan penyokong pemerintah tetap akan menyokong golongan pemerintah walau bagaimana teruk pun penulisan blog tersebut ditujukan kepada pihak pemerintah. Begitu juga sebaliknya. Tetapi bagaimana dengan golongan yang berada di atas pagar? Mungkin Dr Baha mempunyai statistik tentang golongan di atas pagar ini, adakah mereka terpengaruh dengan blog?

Apa pun, kepada pengunjung semua, saya akan tetap menulis tentang apa-apa sahaja yang sesuai. Anda akan dapati blog ini mempunyai sedikit tulisan tentang fakta, ekonomi dan politik, adakalanya humor, adakalanya picisan. Saya harap anda semua akan terus memberikan sokongan.

Wallahu A'lam.

Dr Azwan

Monday, June 30, 2008

Nur Fateha Syahdina Johan Bercerita




Assalamualaikum,

Minggu lepas, anak sulung saya, Nur Fateha Syahdina (Fateha) berumur 5 tahun, telah masuk pertandingan bercerita untuk Hari Potensi Tabika anjuran Tabika Kemas. Pertandingan diadakan untuk parlimen Seputeh dan Parlimen Bukit Bintang. Anak saya mewakili Tabika Taman Salak Jaya untuk Parlimen Seputeh. Tajuk ceritayang dipersembahkan ialah "Beruang dan 2 orang sahabat karib.

Dia mula menghafal cerita 1 bulan sebelum itu. Pada asalnya guru tadika mahukan dia memasuki pertandingan fesyen, tetapi ia dibatalkan. Kemudian Fateha diminta pula memasuki pertandingan reka cipta menggunakan tanah liat atau plastesin tetapi akhirnya tidak jadi juga. Oleh kerana tiada wakil untuk pertandingan bercerita, maka Fateha pun dipilih.

Pada awalnya dia malu-malu, tetapi oleh kerana dia diminta untuk bercerita di hadapan semua orang, maka akhirnya malu itu semakin berkurang.

Oleh kerana kebanyakan kawan-kawan Fateha yang memasuki pertandingan bercerita berumur 6 tahun, mahu tak mahu abah dan umi Fateha terpaksa "bekerja keras" supaya Fateha dapat meneruskan pertandingan ini dengan rasa gembira dan tanpa stres yang keterlaluan. Maka, terpaksalah abah dan umi berjanji untuk menghadiahkan anak patung "Barbie" kepada Fateha dan 2 orang lagi adiknya sekiranya dia berjaya naik ke pentas dan bercerita.

Kami menyewa sebuah kostum "beruang" dari bangunan Yow Chuan Plaza jalan Ampang untuk pertandingan bercerita ini.

Pada pagi hari pertandingan Fateha menangis kerana takut. Lama kelamaan setelah melihat ramai kawannya beraksi, ketakutan itu semakin hilang. Segala aksi-aksi yang dipelajari separuh daripadanya tidak dibuat kerana terlupa dan terlalu takut.

Alhamdulillah, berkat dorongan semua orang, kesungguhannya untuk berlatih setiap hari dan anak patung "barbie" yang dijanjikan, dia berjaya menjadi johan bercerita Hari Potensi untuk Parlimen Seputeh. Selepas ini Fateha akan bercerita ke peringkat kebangsaan pula. Cai yuk!


Nur Fateha Syahdina ketika berumur 4 tahun dengan aksi cun (baru dapat kasut kot masa tu). Tembam macam abah dia.


Di rumah, malam sebelum hari pertandingan bersama kostum beruangnya. Tangan kostum terlalu panjang. Di sebelah kanak, Nur Annisa' Insyirah (Syirah)- 4 tahun anak saya yang kedua, Mohd Amir Syahmi (Cami) - anak saudara saya yang merupakan jelmaan hero Ultraman, dan Nur Soleha Sofeyya (Piya)- umur 2 tahun - anak ke 3.


Nur Fateha sedang beraksi.


Nur Fateha mendapat hadiah. Saya yang di bawah pun tengah terkejut. Maklumlah peserta lain lebih hebat.

Nur Fateha bersama kawan baiknya di atas sofa selepas mengambil hadiah.


Bersama kawan-kawannya yang juga menjadi johan pertandingan nasyid.


Salah seorang kawan Fateha yang menjadi johan pertandingan nasyid.


Di sebelah kiri sekali, kawan Fateha yang menjadi johan membaca Qur'an. Mereka kena menghafal ayat 1-5 Surah Ar Rahman beserta maknanya.

Thursday, June 26, 2008

Tatu (Tattoo) - Masalah dan Perawatannya




Assalamualaikum,

Semalam saya didatangi oleh 2 orang wartawan surat khabar sinar yang ingin menemuramah saya tentang tatu dan bertindik badan untuk diterbitkan di dalam akhbar mereka. Mereka membawa isu tatu dan bertindik badan ini kerana ini adalah gejala kurang sihat yang semakin merebak di kalangan anak muda kita.

Tidak dinafikan budaya bertatu dan bertindik badan di kalangan remaja muda Islam kita semakin meningkat. Saya rasa kita kena sama-sama menegur sesama kita terutama ahli keluarga kita sendiri.

Oleh kerana saya pernah bekerja di HKL di dalam bidang plastik surgeri dan mempunyai sedikit pengalaman perihal tatu, izinkan saya untuk berkongsi dengan anda berkenaan hal tersebut.


DEFINISI TATU

Untuk pengetahuan anda, tatu adalah satu perkataan yang berasal dari samoa iaitu "tatau" yang bermaksud untuk menanda atau untuk mencacah dua kali. Makna ini berkait rapat dengan cara orang Samoa membuat tatu di badan mereka. Tetapi ini tidak menunjukkan bahawa bangsa polynesia yang mempelopori tatu. Secara sejarahnya, tatu telah diamalkan hampir 5000 tahun sebelum masehi.

Dari sudut sains, tatu adalah proses di mana pigmen warna dicacah ke dalam lapisan kulit yang dalam dipanggil dermis. Lapisan di atas dermis iaitu epidermis adalah lapisan yang sering berganti-ganti, tetapi lapisan dermis adalah lebih tetap.

Dengan reaksi pencacahan tatu menggunakan jarum, maka tindak balas badan menyebabkan pigmen tersebut diperangkap oleh sel-sel dipanggil fibroblast (sel parut) di kawasan dermis dan menjadi stabil dengan warna kulit.


KENAPA BERTATU?

Agama dan Spiritual.
Tatu dibuat kerana beberapa sebab. Di antaranya adalah kerana hubungan spiritual dan agama seseorang. Pada sesetengah agama tatu boleh menghalau hantu dan syaitan. Di dalam cerita Ripley's Believe it or Not, seorang lelaki yang merasakan dirinya adalah jelmaan harimau, telah mentatu seluruh badannya dengan belang dan warna harimau.

Budaya
Kaum Iban di Sarawak mengamalkan tatu terutama di kalangan pahlawan mereka waktu dahulu. Ini menunjukkan semangat keberanian dan kepahlawanan mereka.

Identifikasi atau pengenalan
Kumpulan Yakuza iaitu satu kumpulan mafia Jepun dikenali kerana tatu mereka yang mereka pakai. Di Malaysia terdapat kumpulan kongsi gelap (biasanya cina) yang mencacah tatu di badan mereka sebagai tanda satu kumpulan. Ada juga tatu yang bersifat rank atau pangkat.

Jikalau tatu helang atau tatu harimau, maka pangkatnya adalah tinggi sedikit daripada tatu ular. Atau tatu naga yang paling tinggi pangkatnya di kalangan semua tatu contohnya. Tentera Nazi juga pernah menanda golongan yahudi dengan tatu dengan nombor semasa peristiwa holocaust dahulu sebagai tanda pengenalan.

Kosmetik
Ada orang yang mentatu kawasan kulit yang bermasalah untuk menutup kelemahannya. Walaupun tidak bagus sebenarnya mentatu kulit yang bermasalah, tetapi seorang wanita di barat telah mentatu separuh badannya kerana masalah kulit yang dihadapinya ketika terkena cahaya matahari.

Perubatan
Tatu mempunyai kurang indikasi di dalam perubatan. Seseorang yang menjalani pembedahan mastektomi iaitu buang payu dara kerana kanser, kemudian menjalani pembedahan semula untuk rekonstruktif payudara. Salah satu cara untuk membina puting susunya dengan cara mudah adalah melalui cara tatu.


RISIKO DAN MASALAH

Jangkitan
Jangkitan adalah masalah utama tatu. HIV dan Hepatitis adalah jangkitan virus yang boleh menyebabkan kematian. Ini disebabkan penggunaan jarum yang sama bagi pelanggan-pelanggan. Jangkitan kulat dan bakteria juga boleh berlaku dan mengakibatkan luka susah sembuh dan kadangkala bengkak dan bernanah.

Oleh itu mereka yang menerima tatu tidak dibenarkan menderma darah di Malaysia dan banyak negara di dunia selama 12 bulan selepas kali akhir ditatu.

Alahan
Alahan kepada bahan dakwat yang digunakan boleh terjadi. Ini boleh menyebabkan kegatalan. Ada sedikit insiden tatu menyebabkan alahan teruk seperti sesak nafas.


BAGAIMANA MEMBUANG TATU

Akhirnya sampai di tempat isi yang ingin saya sampaikan kepada pembaca.

Ada segelintir anak-anak muda melayu Islam kita yang belajar di luar negara yang pulang dengan hadiah tatu kepada ibu bapa mereka. Ada ibu bapa yang "cool" tidak beberapa mengendahkan sangat dan buat-buat suka. Ada ibu bapa yang terkejut "panda" dan beristighfar banyak-banyak. Tiada apa yang boleh dilakukan sangat ketika itu.

Titik pertukaran penting cuma berlaku iaitu ketika mereka ingin mendirikan rumah tangga. Masa tu ingin kembali ke jalan yang benar. Nak menjadi suami perlu sedikit ilmu di dada. Buka semula al-Quran. Buka semula kitab fekah. Baca rukun nikah.

Tiba-tiba terfikir tatu besar di lengan, macamana nak berdepan dengan kadi dan bakal mertua. Malu kalau ternampak. Mulalah di dalam kepada ligat berfikir. Bagaimana nak membuang tatu.

Terdapat pelbagai cara membuang tatu.

1. Cara yang paling berkesan adalah menggunakan laser. Terdapat 3 jenis laser yang kami gunakan dulu di plastik surgery iaitu Alexandrite, ND Yag dan Intense Pulse Light. Ini adalah cara yang paling berkesan kerana setiap laser mempunyai ciri unik dan jarak gelombang yang tertentu untuk membuang tatu.
Apa yang laser akan buat apabila dipancarkan, ia akan menguraikan pigmen warna di dalam dermis. Dan proses ini menyebabkan sel badan bertindak dengan "memakan" pigmen warna yang diuraikan itu.

Walaupun begitu, proses ini mengambil masa beberapa sesi (mungkin 5-6 sesi atau lebih) bergantung kepada jenis tatu dan besarnya. Ia juga agak sakit berbanding mencacah tatu itu sendiri walaupun krim bius digunakan. Jika dijalankan di klinik atau hospital swasta ia boleh melibatkan kos yang besar setiap sesi.

Parut yang ditinggalkan oleh rawatan laser boleh menjadi kekal dan tidak cantik. Ada sesetengah kulit yang sensitif terutama kulit gelap, parut yang ditinggalkan mungkin lebih gelap (hyperpigmentasi) atau lebih cerah (hypopigmentasi) daripada warna kulit asal.

Warna hijau, kuning, merah yang digunakan di dalam pencacah tatu professional adalah lebih sukar untuk dihilangkan menggunakan laser, mungkin kerana jarak gelombang warna yang berbeza atau jenis dakwat yang digunakan. Warnah hitam dan biru lebih mudah dihilangkan. Ini menyebabkan tatu tradisional yang biasanya menggunakan dakwat biasa atau nila lebih mudah dibuang.

2. Ada juga cara lain iaitu melalui pembedahan. Saya pernah melihat seorang budak perempuan berumur 17 tahun ingin membuang tatu di Hospital Kuantan dulu. Kulit tatu yang ingin dibuang akan "disiat" sehingga ke level dermis (tak sakit sebab ada bius). Lepas itu akan ditampal dengan kulit yang baru yang diambil dari anggota lain (sekarang ada 2 parut pula). Cara ini lebih pantas dan dilakukan di kawasan yang tiada perkhidmatan laser. Walaupun begitu parut yang ditinggalkan adalah hodoh.

3. Selain dari 2 cara ini saya tiada pengalaman. Tetapi saya ada terjumpa seorang askar yang menggunakan kapur simen yang panas tu untuk "membakar" tatunya. Kesannya mungkin hilang sedikit tetapi ia telah meninggalkan parut yang sangat hodoh.



NASIHAT SAYA

Pertama sekali mencacah tatu adalah satu dosa. Ini dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, "Daripada Ibnu Umar, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu."

Sekiranya, anda ingin bertatu, tolonglah baca artikel ini dan fikir 1000 kali. Ia adalah satu perbuatan mensabotaj diri sendiri. Malah sabotaj ini boleh dikategorikan hampir kekal. Sekiranya anda ingin membuangnya, ia akan meninggalkan parut yang boleh menghantui anda seumur hidup. Parut fizikal boleh ditutup dan dibuang, parut mental kekal ke akhir hayat.

Bukan itu sahaja ia juga melibatkan pembaziran wang yang besar. Dulu anda membuang wang untuk mencacahnya sekarang anda membuang wang untuk membuangnya.

Ingatkan Allah dan ibu bapa sebelum anda mentatu diri anda. Ramai di kalangan orang yang ditatu menyesal tidak sudah setelah ditatu dan terpaksa menerima hakikat hidup dengannya seumur hidup. Sebagai anak, anda sendiri tidak mahu sekiranya suatu waktu akan datang anak anda sendiri pula mentatu diri.

Pendekata ini adalah budaya barat ikut-ikutan yang terlalu mengagungkan hedonisme, tidak bermanfaat, menyakitkan, membazir dan menjatuhkan maruah. Janganlah gunakan tatu di atas alasan meningkatkan personaliti, kebebasan dan keremajaan kerana ini adalah cara hidup orang yang rosak akhlak di barat. Ia adalah cuma taktik komersial mereka untuk mengaut untung dan anda sendiri yang menerima padahnya.

Wallahu A'lam.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin untuk www.drazwan.blogspot.com.



Monday, June 23, 2008

DI MANAKAH KAUM ADAM?



Assalamualaikum.

Kemana hilangnya pelajar lelaki di IPTA tempatan? Kenapa terlalu berkurangan? Seorang mahasiswa perempuan USIM ditemuramah di radio 24 minggu lepas berkata, Di dalam kelasnya ada 40 orang pelajar semuanya, yang lelaki tak sampai 10 orang.

Adakah baru sekarang baru gejala ini timbul?

Semasa saya di MRSM Kuala Terengganu pada tahun 1993, kelas saya seramai 40 orang tetapi pelajar lelaki hanya seramai 10 orang sahaja. Kebanjiran pelajar perempuan ketika itu begitu ramai sehingga terdapat satu kelas bilangan pelajarnya semuanya perempuan iaitu 5L yang mempunyai nama jolokan 5 Ladies.

Ada seorang professor kejuruteraan memberitahu, pada zaman ini kursus seperti kejuruteraan juga semakin dipelopori golongan wanita. Pelajar lelaki sudah semakin kurang.

Di Maktab perguruan kebanyakan guru-guru 80% terdiri daripada perempuan.

Adakah ini satu "vicious cycle?". Ada pendapat menyatakan bahawa lepasan maktab perguruan ini yang terdiri daripada 80% guru wanita, menjadikan suasana sekolah menengah lebih tertumpu kepada suasana keperempuanan sehinggakan pelajar lelaki kurang berminat untuk bersekolah. Role model guru lelaki pula semakin berkurang.

Pelajar wanita yang lebih cepat matang daripada lelaki lebih mendapat perhatian guru wanita berbanding pelajar lelaki yang nakal dan lambat matang. Biasanya ini menyebabkan mereka lebih berjaya di dalam peperiksaan dan masuk ke Universiti tempatan berbanding lelaki. Ada di kalangan graduan wanita masuk semula ke bidang pendidikan dan menjadi guru. Dan kitaran ini berputar.

Pelajar lelaki lebih lambat matang dan adakalanya tidak suka terikat dengan disiplin. Ramai juga yang kurang berjaya di dalam peperiksaan. Daripada sifat semula jadi lelaki yang lebih tertumpu kepada perkara-perkara teknikal berbanding teoritikal, kebanyakan mereka berada di politeknik dan kursus-kursus vokasional yang menawarkan subjek lebih bersifat teknikal. Ada yang berjaya ke universiti dan mengisi ruang-ruang subjek teknikal di universiti.


Bagaimana dengan Universiti Swasta Tempatan?

Mengikut seorang pegawai kemasukan di Universiti Lim Kok Wing, perkara kekurangan penuntut lelaki ini TIDAK berlaku di universiti swasta. Beliau menyatakan bahawa penuntut yang hebat-hebat dan cemerlang di universiti swasta adalah terdiri daripada pelajar lelaki. Malah bilangan pelajar lelaki di universiti swasta adalah seimbang dari sudut jantina, malah ada juga bilangan pelajar lelaki yang lebih ramai. Walaupun begitu mereka terdiri daripada BUKAN melayu

Oleh itu masalah kekurangan pelajar lelaki di universiti ini adalah terdiri daripada pelajar lelaki melayu sahaja. Bagi bukan melayu, ia bukanlah satu masalah.

Jadi, dimanakah pelajar lelaki melayu kita? Benarkah mereka mengisi ruang-ruang di pusat serenti, penjara dan sekolah-sekolah akhlak?

Itu mungkin sedikit benar kerana penghuni pusat-pusat bermasalah ini hampir 90% terdiri daripada orang melayu.

Bagaimana dengan pelapis pemimpin lelaki yang akan kita pilih 20 tahun lagi misalnya sekiranya perkara ini tidak dibendung? Adakah wajar, kerajaan semata-mata terpaksa menolak kemasukan pelajar perempuan yang lebih pandai semata-mata untuk memberi ruang kepada pelajar lelaki memenuhi bilangan kuota universiti?

Perancangan untuk menyelesaikan masalah ini perlu bermula dari sekolah rendah dan dibawa ke sekolah menengah. Seperti contoh awal tadi, di kelas saya terdapat hanya 10 orang pelajar lelaki berbanding 30 orang perempuan. Jika trend ini berterusan maka inilah juga adalah refleksi bilangan penuntut lelaki dan perempuan di Universiti. Oleh itu mengawal tingkah laku dan pendidikan mereka ketika masih di bangku sekolah adalah langkah yang sangat penting.

Saya berpendapat institusi kekeluargaan di kalangan keluarga melayu Islam di Malaysia perlu diperkukuhkan. Tidak boleh hanya meletakkan beban berat seperti ini kepada guru sekolah sahaja.

Anak-anak lelaki harus kembali diberi banyak tanggungjawab di dalam keluarga, diberi pengawasan yang sewajarnya oleh ibu bapa sama seperti anak-anak perempuan. Kawalan yang terlalu longgar kepada anak-anak lelaki tidak kira dari segi agama, disiplin, akhlak dan pendidikan menjadikan lebih ramai anak-anak lelaki tidak berdisiplin dan tidak faham tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan anak.

Salah anggap bahawa cuma anak perempuan sahaja yang perlu dikawal ketat dan disiplinkan adalah satu cara mendidik yang sudah ketinggalan zaman. Sekiranya insitusi kekeluargaan diberi perhatian yang lebih baik oleh ibu-bapa, maka lebih kurang kejadian negatif berlaku dan ini boleh menyelamat anak-anak lelaki kita dari terjebak ke lembah-lembah hina yang sukar untuk dipulihkan kembali.

Anak-anak remaja kita lelaki dan perempuan adalah cermin masyarakat dan sistem kekeluargaan kita. Buruk perangai mereka maka itulah rupa masyarakat kita yang sebenarnya.

Wallahu A'lam

Thursday, June 19, 2008

Indahnya Ciptaan Tuhan




Assalamualaikum,

Eyes do not see what the mind does not know.

Saya sambung artikel yang saya tulis 2 hari lepas tentang ayat di atas. Kemungkinan cerita di bawah lebih menerangkan tentang frasa tersebut.

Beberapa bulan lepas saya telah menonton satu dokumentari di dalam National Geographic. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki dewasa (umur mungkin dalam 40-an) telah kehilangan penglihatannya di dalam satu kemalangan ketika dia berumur 3 tahun. Dalam kata lain dia menjadi buta pada waktu masih kecil.

Dia meneruskan hidup seperti biasa dan setelah dewasa dia berkahwin dan mendapat beberapa orang anak.

Lebih 40 tahun selepas insiden itu dia mengunjungi pakar mata. Setelah diperiksa oleh pakar mata, dengan menggunakan teknologi terkini, pakar mata berpendapat bahawa matanya boleh dibedah dan penglihatannya boleh pulih.

Dia akhirnya dibedah dan semua orang menanti hasilnya dengan berdebar-debar. Pakar mata berpendapat, hasilnya mungkin menakjubkan dan yakin bahawa pesakit boleh melihat semula.

Apabila tiba masanya dan kain penutup matanya dibuka, lelaki tersebut dapati, apa yang dilihat cuma cahaya sahaja, dia masih tidak dapat melihat apa-apa. Dia tidak mengetahui apa yang dilihatnya itu dan penglihatannya hampir sama seperti dia buta.

Apa yang berlaku ialah lelaki tersebut telah hilang penglihatannya semasa berumur 3 tahun. Pada umur 3 tahun, dia masih di dalam keadaan "baru" belajar melihat. Pemahaman tentang objek, warna, rupa, bentuk, dimensi adalah sesuatu yang sangat baru. Pada umur 3 tahun, kanak-kanak tidak tahu apa itu warna hijau, apa itu telefon, apa itu jalan tar, apa itu eskalator dan macam -macam lagi. Oleh itu, apa yang dilihatnya sekarang adalah apa yang sepatutnya dia lihat ketika umurnya 3 tahun.

Mari kita kembali kepada asas fisiologi penglihatan. Apabila cahaya yang dipantulkan oleh satu objek masuk ke dalam mata dan membentuk imej terbalik di dalam retina. Imej ini akan dihantar dari retina ke otak melalui saraf optik. Di dalam otak lah imej ini akan ditafsir dan difahami.

Sekiranya otak tidak mengenali imej yang dihantar itu, otak tidak dapat menafsir imej tersebut. Dan pandangan tentang imej itu tidak boleh difahami.

Di dalam konteks cerita lelaki ini, tempoh masa 40 tahun yang dia tidak dapat melihat, apa yang didaftarkan ke dalam otaknya semasa umur 3 tahun juga adalah sesuatu yang kelam dan samar-samar. Oleh itu cahaya dan imej yang masuk ke dalam matanya tidak dapat ditafsir oleh otak dan akhirnya ia hanya difahami sebagai satu yang kelam dan gelap, serupa seperti keadaan dia buta dahulu.

Beliau perlu mengambil masa untuk belajar semula semua objek yang dilihatnya untuk mendaftarnya ke dalam bentuk ingatan dan pengalaman. Kemudian baru beliau dapat memahami apa yang dilihatnya.

Terdapat satu lagi fakta aneh yang tuhan jadikan tentang penglihatan dan otak. Dunia yang luas dan berwarna-warni, dihiasi dengan keindahan alam yang serba indah dan cahaya yang sangat terang, adalah imej yang dipantulkan kedalam mata dan akhirnya sampai ke otak.

Ironinya, otak itu sendiri yang mentafsir cahaya, keindahan, kecantikan dan keluasan alam ini berada di dalam satu ruangan yang sangat-sangat sempit iaitu di dalam tengkorak manusia dan juga berada di dalam keadaan amat-amat gelap kerana tiada cahaya. Indahnya ciptaan tuhan.

Wednesday, June 18, 2008

Artikel Sahibus Samahah Yang Mengharukan



Assalamualaikum,

Saya terharu dan rasa insaf apa bila terbaca tentang ulasan mufti Perlis tentang keadaan berjimat cermat yang dianjurkan oleh pemimpin kita. Cuba baca tentang artikel ini dan nilaikan sendiri.

Kita sudah begitu perit untuk hidup biasa sedangkan ramai pemimpin yang berkuasa sedang berpesta naik gaji sehingga 100% dan bergaduh samada konsert-konsert perlu diteruskan untuk pesta2 dan sebagainya. Di harap para pemimpin kita dapat mengambil iktibar di atas artikel yang ditulis oleh Sahibus Samahah Mufti Perlis.

Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir 'nasi lemaknya'.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah 'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum 'dijakimkan', "apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?". Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk 'mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.

Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan al-An-Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat 'Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti 'Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Sama-sama kita ambil iktibar. salam.
Related Posts with Thumbnails