Friday, October 23, 2009

Suratan atau Kebetulan...






Salam..

Pada dua hari lepas, bertarikh 21/10/2009, seorang lelaki berumur 60-an datang ke kecemasan hospital dengan ambulans.

Mengikut ceritanya, beliau telah mula nampak teruk sejak seminggu yang lepas dan tidak mahu makan dan minum. Keluarga telah mengajaknya ke hospital tetapi beliau tidak mahu. Selepas seminggu, barulah keluarga menelefon ambulans untuk membawanya ke hospial. Itupun setelah beliau sudah tidak sedarkan diri.

Saya menyambutnya di bilik kecemasan bersama-sama dengan jururawat dan peralatan perubatan.

Apabila tiba pesakit kelihatan seperti sudah tidak bernafas. Menurut jururawat yang mengiringi, pesakit masih bernafas ketika diangkat di dalam ambulans tetapi tersekat-sekat.

Saya pun membuat pemeriksaan, memeriksa oksigen, tekanan darah, nadi, pergerakan anak mata, jantung dan paru-paru. Setelah segalanya diperiksa, saya mendapati beliau sudah meninggal dunia.

Saya mengisytiharkan kematian jenazah pada 21/10/2009 jam 11.50 am akibat pendarahan di dalam otak atau stroke.

Kematian di Hospital bukan sesuatu yang menghairankan. Pesakit datang dan pergi. Ramai yang sembuh dengan izin Allah, ada yang meninggal dunia. Kehendak Allah juga.

Di HKL semasa saya bekerja, hampir setiap hari ada kematian. Masalah jantung, HIV, Asthma, jangkitan darah, jangkitan paru-paru, kanser... sebut sahaja penyakit apa.

Di hospital swasta, memang jarang-jarang ada kematian. Sebulan sekali mungkin. Ini kerana, pesakit yang dijangka teruk akan dirujuk ke Hospital KL atau Hospital besar kerajaan. Oleh itu, mereka tidak sempat menghembuskan nafas terakhir mereka di sini.

****

Kebetulan pula selepas itu, saya diminta untuk membuat satu laporan perubatan (medical report) untuk satu lagi keluarga yang pesakitnya telah meninggal dunia di bahagian kecemasan, hospital ini, 3 bulan lepas.

Beliau meninggal dunia akibat masalah jantung.

Apabila saya tengok tarikhnya, saya terkejut..

Di dalam fail tertulis, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 21/7/2009 jam 11.50 am oleh saya.

Yang baru meninggal ini tarikhnya 21/10/2009 jam 11.50 am juga. Tarikh yang serupa, masa yang sama, hospital yang sama, doktor yang merawat pun sama.. cuma 3 bulan beza.

Suratan atau kebetulan.

Rasanya tak ada kena mengena dengan kejadian 36 sejadah berdiri di Kelantan..





Thursday, October 22, 2009

Hospital lagi...





Salam.

Kisah ini banyak kali berulang. Dulu Hospital Pandan, kini hospital Pekan. Mendatangkan murka Sultan Pahang dan rakyat Negeri Pahang sahaja. PM yang berasal dari sana pun malu juga.

Susah sangat ke projek nak buat Hospital RM81 juta ni?

Cuba bagi kat saya... lagi hancur.. huhu.. seperti tikus membaiki labu.

Tentulah lagi teruk kalau bagi kat saya.. sebab saya tak layak dapat projek ni. Kena lah bagi projek pada orang yang layak.. amanah...

Silalah SPRM melawat Hospital ni.. cuba periksa kelayakan mereka ini.

Ni bukan projek RM 800 ribu.. ni bukan projek RM 8.1 juta... Ni projek RM 81 juta..

Apapun, tahniah orang Pekan dapat Hospital RM 81 juta. Selalu lalu depan Hospital tu masa balik kampung. Secara ikhlas, lebih cantik lagi Hospital Al Islam yang berharga di bawah 10 juta..

Wallahu Alam.

SHAH ALAM - Laporan Audit 2008 mendapati pelaksanaan projek pembangunan Hospital Pekan, Pahang menghadapi banyak masalah disebabkan ketidakcekapan dan kecuaian pihak yang mengurus dan memantau pembinaan hospital tersebut termasuk, dari segi aspek alat kelengkapan.

Projek tersebut juga kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan yang bukan saja menyebabkan kerugian kepada Kerajaan malahan kepada orang awam berikutan kemudahan yang disediakan tidak dapat dimanfaatkan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, antara kelemahan yang diperhatikan ialah Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan sedangkan masih ada kerja yang belum disiapkan sepenuhnya dan peralatan tidak dibekalkan dengan sempurna oleh pihak pemaju.

"Perbezaan yang ketara bagi jumlah peralatan yang disahkan penerimanya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan laporan Kemuncak Facilities Management Sdn Bhd yang dilantik oleh JKR untuk menyelia kerja pembaikan dalam tempoh tanggungan kecacatan.

"Projek lewat disiapkan menyebabkan kosnya meningkat, kerja pembinaan tidak sesuai dan berkualiti serta peralatan tidak digunakan secara optimum, " katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Hospital Pekan dirancang pembinaannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Rancangan Malaysia Ketujuh bagi menggantikan hospital sedia ada dengan anggaran kos awal berjumlah RM81.59 juta.

Menurut laporan itu, terdapat kerja pembinaan yang tidak sempurna dan tidak berkualiti seperti siling berkulat, kesan kebocoran, kesan resapan air dan berbagai masalah lagi di 45 bahagian hospital berkenaan.

Terdapat juga keadaan fizikal bangunan dan kemudahan yang dibina tidak mengikut spesifikasi kontrak dan peralatan yang dibekalkan tidak mengikut spesifikasi kontrak.

"Kos bagi setiap unit peralatan dan kelengkapan tidak dinyatakan di dalam kontrak. Oleh itu pihak audit tidak dapat memastikan sama ada harga peralatan yang dibekalkan adalah munasabah atau pun sebaliknya, " katanya.

Wednesday, October 21, 2009

Doktor Diperlukan Untuk Misi MRA 24.10.2009






Salam,

Masih ada kekosongan untuk seorang lagi pegawai perubatan untuk menyertai Misi Kemanusiaan di bawah Malaysian Relief Agency (MRA) pada 24 hb hingga 31 Oktober ini. Oleh kerana MRA mula bergerak ke kawasan lebih dalam di Periaman yang kurang mendapat bantuan luar, keperluan seorang lagi doktor amat-amat membantu.

Perbelanjaan kapal terbang, makan dan tempat tinggal akan diuruskan oleh MRA. MRA juga boleh mengeluarkan surat perlepasan untuk majikan sekiranya diperlukan.

Sila hubungi saya Dr Shahrizal Azwan 012-9597074 untuk keterangan lanjut.

Pengalaman bekerja di lapangan adalah satu keistimewaan tetapi jika tiada pun tidak mengapa. Doktor wanita juga amat dialu-alukan.

Ini adalah waktu untuk membantu sesama manusia di dalam kesusahan seperti yang disebut Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 2 - "Bantu-membantulah di dalam kerja kebaikan dan Taqwa dan jangan bantu-membantu di dalam kerja kejahatan dan permusuhan".

Pengalaman seperti ini sukar dicari dan tidak diajar di atas kerusi empuk berhawa dingin di bilik kuliah...

Monday, October 19, 2009

Dr Azwan Meyertai Misi Ke Padang Pada 24 Okt.





Salam,

Saya terpilih untuk bersama-sama pasukan Malaysian Relief Agency (MRA) bagi misi ke 5 Bantuan Kemanusiaan ke Padang, Sumatera bermula pada 24 hb Oktober sehingga 31 hb Oktober 2009.

Bersama-sama saya ialah Dr Ishak Mas'ud, Pakar Perubatan Gastroenterology dari Hospital Pakar Al-Islam, Seorang Pakar Bedah Kanak-kanak, Puan Junairah, Ketua Jururawat dan seorang lagi jururawat dari Hospital Pakar Al-Islam.

Kemungkinan doktor dan jururawat lain dari Hospital lain juga akan menyertai misi ini dibawah panji MRA.

Buat masa ini, MRA telah mengambil pendekatan untuk bergerak secara berpusat di PUSKESMAS (Pusat Kesihatan Masyarakat) di Periaman, memandangkan 80% kawasan di sana mengalami kemusnahan.

Bergerak bersama Dewan Dakwah Indonesia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia, MRA menjalankan klinik dari petang sehingga malam. Adakalanya klinik yang dijalankan mencecah sehingga ke 100 pesakit sehari.

Terdapat bilik pembedahan kecil yang menampung kes-kes yang memerlukan kaedah pembedahan dan buat masa ini, MRA sedang memohon bantuan beberapa agensi untuk menghulurkan bantuan kewangan bagi membeli peralatan pembedahan yang baru dan lebih sempurna.

Diharap semua sahabat blog dapat mendoakan keselamatan saya pergi dan balik pada 24 hb ini. InsyaAllah. Sekiranya semua selamat, saya akan membuat catatan blog dan merakamkan gambar-gambar terkini di Padang.

Wallahu Alam.

Sunday, October 18, 2009

Pasir Untuk Dijual






Sila lawati Blog Permata Oasis Resources di SINI.


Permata Oasis Resources adalah sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan kerja-kerja pembekalan pasir untuk tujuan pembinaan dan konkrit di negeri Selangor.

Antara jenis pasir yang kami bekalkan:-
1. Pasir Kasar bersih
2. Pasir Halus bersih (cuma di Branang dan Kambing Susu sahaja)

Kawasan-kawasan perlombongan pasir yang kami bekalkan:-
1. Dengkil (berhampiran Putrajaya/ Nilai/ Cyberjaya)
2. Sungai Kembung, Branang (berhampiran Bangi Lama/ Bandar Sri Mahkota)
3. Kambing Susu, Hulu Selangor (berhampiran Rawang, Ijok, Meru, Klang)
4. Bestari Jaya, Batang Berjuntai. (Belakang UNISEL)
5. Hulu Tinggi, Batang Berjuntai.

Prosedur pembelian:-
1. Sila hantar surat hasrat (LOI) atau Purchase Order (PO) kepada :-

Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin,
Pengurus Besar,
Permata Oasis Resources,
Suite J&K, Bangunan Arked MARA,
Jalan Melayu,
41400 Klang, Selangor
Tel/Faks :03-33410544
(email : abiteha@yahoo.com)

2. Kita akan buat temujanji untuk perbincangan pembelian pasir di pejabat kami di Klang.
3. Pihak kami akan sediakan dokumen yang berkaitan seperti surat wakil jual pasir, laporan makmal pasir dan invois.
4. Pihak pembeli akan menyediakan bukti kewangan, salinan permit lori yang akan digunakan dan dokumen-dokumen bukti kerja yang akan dibuat.
5. Pembayaran dibuat ke dalam akaun syarikat. Resit dan SPA akan dikeluarkan. Urusan permohonan permit dan doket akan diselesaikan di dalam masa 3-5 hari bekerja.
6. Pasir sudah boleh diangkut.


Peringatan :

1. Kegagalan menyediakan senarai salinan permit lori yang akan digunakan untuk mengangkut pasir akan menyebabkan lori tersebut tidak dapat mengangkut pasir.

2. Pembayaran akan dibuat secara berkala. Pembayaran secara pendahuluan (cthnya advance setiap minggu) adalah dicadangkan. Pembeli akan menambah pembayaran setiap akhir minggu sekiranya berminat utk mengambil pasir lagi pada minggu berikutnya. Kegagalan menambah bayaran seperti yang ditetapkan akan menyebabkan lori tidak dapat mengangkut pasir.

Hubungi :-

Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
Pengurus Besar - 012-9597074
abiteha@yahoo.com

Haji Kamaruddin Bin Parlan
Pengurus Pemasaran - 017-3632767

Gambar-gambar di tapak perlombongan pasir.

Saya dan Haji Kamaruddin di tapak pasir di Dengkil, Selangor di hadapan pasir yang telah dicuci.


Saya dan Haji Kamaruddin di belakang lombong pasir kawasan Kambing Susu, berhampiran Rawang, Selangor. Di sini terdapat pasir kasar dan pasir halus.

Pemandangan di tapak stockpile pasir kasar cuci.

Pasir yang telah dicuci di kawasan Kambing Susu.


Untuk mengetahui harga PASIR CUCI, sila lawati www.permataoasis.blogspot.com

Friday, October 16, 2009

Busung 24 bulan!










Salam,

Suatu waktu dahulu, ketika perubatan moden tidak tercapai dek tangan kerana masalah infrastruktur, kewangan dan logistik, maka rawatan tradisional dipilih sebagai rawatan utama. Ia merangkumi rawatan herba dan akar kayu, petua, jampi serapah ataupun dengan bantuan jin.

Bomoh, pawang dan dukun menjadi pendukung utama di dalam kampung-kampung. Ada waktunya, pemimpin harus dengar cakap mereka dan pendapat mereka perlu dituruti kerana ilmu dan pengalaman mereka tentang kedukunan dan juga amalan firasat.

Namun kini, peranan mereka sudah semakin kurang. Ini kerana, perkhidmatan kesihatan sudah semakin meluas ke ceruk pendalaman. Jika tidak pun, rakyat boleh keluar mencari perkhidmatan perubatan moden walaupun terpaksa menelusi pelbagai rintangan di dalam perjalanan.

Pada waktu 2009 ini, kita mungkin sangka bahawa mereka yang duduk di kawasan pendalaman sahaja yang menolak rawatan moden dan hanya mahukan rawatan tradisional ini secara total.

Itu tidak benar.

2 minggu lepas, saya terjumpa dengan seorang wanita di dalam usia 40-an. Beliau datang dengan perut yang besar dan badan yang sangat kurus. Wajahnya cekung. Mungkin dia menyangka dengan memakai jubah labuh dan lengan yang panjang itu dapat menutup perutnya yang besar sseperti 9 bulan mengandung itu. Cumanya, perutnya bukan membusung 9 bulan tetapi 24 bulan!

Beliau secara terbuka memberitahu bahawa beliau didiagnosis menghidapi fibroid oleh pakar sakit puan 2 tahun lalu. Tetapi beliau buat tidak endah dan hanya mahu berubat secara tradisional. Sudah bermacam tempat dia telah pergi dan pelbagai rawatan tradisional dia telah terima namun "belum ada rezeki" lagi.

Saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia bertugas di sebuah hospital universiti yang terkenal di Kuala Lumpur. Malah dia kata dia kenal pakar sakit puan si polan dan si polan (yang saya juga kenal) kerana pernah bekerja dengan mereka.

Saya tanya kenapa beliau tidak mahu menerima rawatan dari pakar sakit puan. Wanita berpendapat bahawa beliau lebih serasi dengan rawatan tradisional. Mungkin sedikit segan dengan pakar di tempat beliau bertugas. Tetapi beliau percaya bahawa rawatan tradisional itu boleh membantunya.

Rupa-rupanya beliau pergi ke hospital ini kerana beliau telah berjumpa dengan seorang "pakar" tradisional yang memberitahu bahawa perutnya penuh air. "Pakar" itu mahukan beliau menjalani ujian CT scan supaya air tersebut dapat dikenal pasti dan dibuang. Bagaimana cara ia akan dibuang saya tidak tahu. Mungkin melalui cara batin.

Saya memberitahunya, kalau ketumbuhan ini adalah fibroid, ia bukan lah sejenis air yang terkumpul tetapi sejenis ketumbuhan dari rahim. Kita tidak boleh buang air begitu sahaja sedangkan masalahnya ialah sejenis ketumbuhan berasal dari tisu. Ia perlu dibedah.

Sebelum ini pun banyak sudah cerita tentang fibroid yang banyak dibuang sehingga berkilo-kilo beratnya. Ia boleh dilakukan dan selamat. Asalkan ia bukan kanser.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk menerima rawatan tradisional walaupun beliau mengaku bahawa selama 2 tahun beliau menerima rawatan tersebut, tidak ada perubahan yang berlaku malah ketumbuhan semakin membesar. Dan beliau semakin kurus.

Apa yang boleh saya katakan. Saya berasa sedikit kesal tapi saya yakin itu adalah keputusannya dan kita sebagai perawat harus menghormati kehendak pesakit kita. Apatah lagi beliau tidak jahil dan faham akan penyakitnya.

Cuma mungkin saya boleh berkongsi cerita yang saya terbaca di dalam email.

Kisah seorang perempuan tua yang tinggal seorang diri ketika hujan lebat. Hujan tidak berhenti dan air mula semakin naik ke dalam rumah. Semakin lama semakin tinggi banjir itu sehingga beliau terpaksa naik ke atas meja.

Apabila skuad penyelamat tiba, dan mahu membawanya ke dalam bot beliau menolaknya. beliau berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Beliau pun terus berdoa.

Apabila air naik lagi, beliau terpaksa naik ke loteng. Skuad penyelamat pun tiba lagi untuk membawanya pergi. Beliau menolak dan berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Wanita itu terus berdoa dengan lebih kuat lagi.

Apabila air nak lagi, beliau naik ke atas atap. Pasukan penyelamat pun tiba lagi buat kali ketiga. Beliau dengan sikap degilnya berkata, pergilah. Tuhan pasti menyelamatkan aku.

Akhirnya wanita tua itu mati tenggelam.

Apabila dia menemui Tuhannya, Tuhan bertanya kepadanya, kenapa engkau membiarkan dirimu tenggelam?

Wanita itu menjawab, Aku menunggu pertolongan dari Mu Tuhan yang tidak kunjung sampai.

Tuhan menjawab, Bukankah aku telah membantumu dengan menghantar pasukan penyelamat ke rumah mu? Bukan sekali tetapi 3 kali!

(p.s. Cerita ini perlu dianggap sebagai sekadar cerita sahaja)

Kadang-kadang Allah memberi pertolongan melalui pelbagai cara. Ia di hadapan mata kita, tetapi kadangkala kita selalu terlepas pandang.

Perubatan Islam bukan hanya memakan herba-herba dan jampi sahaja. Ia juga merangkumi ilmu-ilmu yang baik, yang dijalankan secara teratur, penelitian melalui sistem empirikal dan macam-macam lagi. Malah, sekiranya terdapat unsur menyerah diri kepada kekuasaan Allah, menggunakan ubat-ubatan yang jelas tidak haram kecuali darurat, menggunakan pendekatan islam seperti adab dan sebagainya, Maka perubatan moden sekarang adalah perubatan Islam yang paling berkesan.

Wallahu A'lam.


Monday, October 12, 2009

Khairil MRA Pejuang Kesukarelawanan Tulen





Dipetik dari Berita Minggu - 12 Oktober 2009

Sdr Khairil berdiri 5 dari kiri.

PERNAHKAH anda terfikir menjadi sukarelawan sepenuh masa yang berkhidmat untuk menyelamat dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana serta mempertaruhkan nyawa di zon perang.

Pastinya, dalam 10 orang yang ditanya sukar untuk mencari seorang pun yang memberi jawapan sanggup menjadi sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan.

Namun, berbeza dengan Khairil Annuar Khalid, 48, yang sanggup melepaskan jawatan dan gaji besar yang diperoleh daripada syarikat multinasional Hewlett Packard pada 1980-an hanya semata-mata kerana mahu menjadi sukarelawan sepenuh masa.

Malah, beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan bertekad untuk terus membantu masyarakat dunia yang memerlukan bantuan akibat peperangan dan bencana alam.

"Ketika menyatakan hasrat mahu berhenti kerana mahu menjadi sukarelawan, saya dibidas ketua di tempat bekerja dan dia menyatakan saya tidak akan mampu menyelamatkan dunia. Saya menjawab yang saya tahu tidak akan dapat menyelamatkan dunia tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha menyelamatkan dunia," katanya ditemui di kediaman yang dibelinya hasil titik peluh bekerja sebagai sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan tempatan.

Beliau yang agak emosional setiap kali menceritakan pengalamannya, berkata sering kali ada pandangan salah mengenai pekerjaan sebagai sukarelawan dan ramai yang menyatakan pekerjaan itu tiada masa depan.
"Sebenarnya itu hanya mitos saja kerana bekerja sebagai sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan adalah profesyen yang baik dan berpotensi. Perlu difahami bahawa sukarelawan bukan semuanya tidak dibayar atau diberikan gaji.

"Jika anda menyertai mana-mana pertubuhan bantuan kemanusiaan, anda akan dibayar bergantung kepada kepakaran dan tugas yang anda lakukan. Nama saja sukarelawan, namun anda masih dibayar tetapi bukannya gaji yang menjadi asas tugas anda, sebaliknya lebih kepada tugas menyelamat dan memberi bantuan," katanya mengakui berkhidmat sebagai pekerja bantuan kemanusiaan bukannya jawatan yang popular seperti profesyen lain.

Beliau menceritakan mula menyertai organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa sepenuh masa pada 1988 dan dihantar ke Kemboja bagi misi menyelamat di kawasan peperangan di negara berkenaan.

"Ketika itu saya berusia 27 tahun dan belum berkahwin. Selama satu setengah tahun, saya berahsia dengan keluarga dan mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap bulan atau dua bulan sekali akan kembali ke tanah air.
"Rahsia terpaksa dibocorkan apabila saya mendapat tawaran berkhidmat di Amerika Tengah membantu pelarian perang di El-Salvador. Keluarga terkejut dan menentang, namun berkat doa dan kesungguhan yang saya tunjukkan, ibu bapa menerima dengan baik pekerjaan saya ini...Alhamdulillah ," katanya yang bertemu jodoh dengan Dr Norhasimah Hashim ketika berkhidmat di Bosnia Herzegovina.

Norhasimah juga aktif dalam kerja sukarelawan dan bersama-sama beliau berkhidmat di Sarajevo dan Kosovo ketika membantu mangsa konflik peperangan di Balkan itu. Malah, anak sulung beliau Muhammad Khairil Asyraf turut dibawa menyertai misi bantuan ketika berusia empat bulan dan membesar di Sarajevo sehingga lima tahun.

Khairil Annuar berkata, minat yang mendalam timbul sejak di bangku sekolah lagi, namun tidak banyak maklumat mengenai bidang berkenaan.

Namun, hobi membaca membuka matanya mengenai kerja sukarelawan yang pada ketika itu tidak begitu diketahui di negara ini.

"Saya memohon menjadi sukarelawan dengan sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan diterima dengan latihan pertama dilakukan bersama sukarelawan yang lebih kanan di Kemboja," katanya.

Bercerita lanjut, selepas El Salvador, beliau pernah berkhidmat di Asia Tengah ketika konflik di Chechnya dan beberapa negara lain di bawah Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Tajikistan.

"Saya berkhidmat di Asia Tengah selama satu setengah tahun dan kemudian menyertai misi menyelamat dan memberi bantuan untuk mangsa perang ketika peperangan di Balkan. Saya berkhidmat di Sarajevo, Bosnia, Kosovo dan Montenegro selama enam tahun dan menyaksikan peperangan berlangsung sehingga tamat," katanya yang turut serta dalam pertubuhan kemanusiaan antarabangsa membantu kerajaan membuka Kedutaan di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Ketika di Bosnia, Khairil Annuar yang ketika itu masih berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut membantu pasukan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menjadi pertubuhan kemanusiaan pertama dari Malaysia ke wilayah perang berkenaan.

Selepas menyedari Abim memerlukan khidmat sukarelawan yang berpengalaman dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, beliau mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan menyertai pertubuhan Malaysia Relief Agency (MRA).

Keputusan pulang ke tanah air juga dibuat selepas mengambil kira pertambahan ahli keluarga, selain faktor usia dan sejak itu beliau juga mengambil keputusan berkhidmat di kawasan konflik untuk tempoh yang singkat, selain banyak menumpukan kerja menyelamat dan bantuan kemanusiaan pada peringkat tempatan.

Beliau menjelaskan penyertaan golongan profesional bukan setakat pasukan bantuan perubatan dan rawatan saja, sebaliknya mereka yang bertugas sebagai peguam, jurutera, arkitek dan kaunselor juga diperlukan kerana kepakaran mereka sangat berharga.

Beliau menjelaskan sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang berbayar dan tidak berbayar.

Golongan berbayar bererti mereka bertugas sepenuh masa dengan pertubuhan kemanusiaan, manakala yang tidak berbayar ialah sukarelawan separuh masa yang hanya dibayar elaun makan, tiket penerbangan dan kemudahan penginapan ketika bertugas.

Khairil Annuar merayu golongan muda dan profesional di negara ini membabitkan diri dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan kerana mereka mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

"Dalam misi bantuan kemanusiaan dan menyelamat, tugasnya ialah memberi bantuan dan menyelamat, jika sukarelawan tiada ilmu pengetahuan, lemah dan kurang bijak, bagaimana mereka mahu membantu orang yang dalam kesusahan," katanya yang mendedahkan kepada anaknya mengenai kerja sukarelawan seawal usia kanak-kanak lagi.

PROFIL: Khairil Annuar Khalid
Umur: 48 tahun
Asal: Penaga, Pulau Pinang
Pendidikan: ITM, Perlis
Profesyen: Sukarelawan Sepenuh Masa, Pengarah Bantuan Kecemasan, MRA
Isteri: Norhashimah Hashim, 40.
Profesyen: Doktor
Anak: Muhammad Khairil Asyraf, 12, Noor Athirah, 8, dan Muhammad Khairil Akram, 5.

Saturday, October 10, 2009

Radio 24 Menang Anugerah AMIN





Salam,

Tahun lepas, sebuah rancangan bicarawara di siaran Radio 24 tentang Makan di Hotel Lima Bintang- Halal atau Haram telah disiarkan oleh Bernama dengan kerjasama PPIM. Program tersebut telah diterajui oleh sdri Nazira Noran (juga selaku penerbit), bersama Tokki PPIM dan dua orang chef yang dijemput khas untuk membincangkan tentang status makanan di hotel lima bintang yang diragui kerana ada pencampuran unsur halal dan haram.

Beberapa hari selepas itu saya telah menulis satu artikel tentang program tersebut yang dinamakan Hidangan Restoran Hotel 5 Bintang - Halal Atau Haram?.

Artikel tersebut telah menjadi satu fenomena dan "meletup" di seluruh negara. Ia telah disebarkan di blog, laman sesawang, forum, artikel akhbar online, email dan diedarkan sebagai hardcopy di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Malah artikel saya itu telah diceduk dengan menukarkan beberapa pendahuluan dan diletakkan nama pena sendiri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disiarkan di laman PPIM sendiri!!.

Kesan daripada rancangan yang dihoskan oleh sdri Nazira Noran di radio 24 itu beserta dengan artikel yang saya tulis, banyak pihak telah terbuka mata. TV3 melalui buletin TV3 telah membuat liputan khas tentang samada hotel lima bintang memang benar-benar halal statusnya. Begitu juga dengan NTV7. Seterusnya Dato' Dr Masitah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengejutkan tentang status makanan halal di hotel.

Anugerah Media Islam Negara (AMIN) Kali Ketiga yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Oktober 2009 yang lepas telah mengumumkan Radio 24-BERNAMA sebagai pemenang bagi kategori Penerbit Bicarawara Berunsur Islam Radio Terbaik menerusi rancangan Makan di Hotel, Halal atau Haram? oleh Nazira Noran.

Tahniah diucapkan kepada sdri Nazira yang kini masih meneruskan program bersama Tokki PPIM yang saban minggu mendapat jumlah pendengar yang ramai. Diharapkan program ini akan berterusan menghidangkan perkara yang memberi manfaat kepada ramai pendengar Islam.

Wallahu Alam.

Thursday, October 8, 2009

Persediaan Menghadapi Gelombang Kedua





Sumber : http://www.abim.org.my/

Sempena Majlis Aidilfitri anjuran SERI / SEMI dengan kerjasama BAKA pada 03 Oktober 2009 bersamaan dengan hari sabtu, biro kesihatan dan skuad Prihatin ABIM telah dijemput untuk membuat penerangan untuk menghadapi Gelombang ke-2 H1N1.

Dr. Sharizal Azwan bin Samsudin mewakili biro kesihatan ABIM telah memperincikan tentang bahayanya virus ini kepada hampir 200 orang hadirin yang hadir ke majlis tersebut,manakala sukarelawan dari skuad prihatin mengedarkan surgical mask secara percuma kepada tetamu dan hand sanitizier.

Diharap dengan penerangan ini dapat memberi sedikit pengetahuan kepada ibubapa yang hadir untuk dipraktikkan kepada anak-anak mereka bagi mengelakkan jangkitan tersebut.

Tuesday, October 6, 2009

Gambar Bencana Gempa Bumi di Padang - Ehsan MRA

Salam,

Gambar-gambar ini adalah ehsan daripada Dr Hyzan yang telah pulang selepas menyertai misi pertama di Padang. Untuk pengetahuan anda, pasukan Malaysia yang pertama tiba di Padang ialah MRA. Di waktu ketibaan, belum ada lagi team dari kerajaan Malaysia mahupun Mercy berada di sana.

MRA berusahasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia dan Dewan Dakwah Indonesia di sana untuk menghantar bantuan.

Semoga gambar-gambar ini memberi sedikit keinsafan kepada kita semua.


Dr Dahlia dan Sdr Shahran ni pusat aktiviti MRA

Pasukan MRA yang terdiri daripada Dr Hyzan, SN Zainorli (baju biru), Dr Dahlia (tengah tudung coklat) dan SN Fauziah (baju renda coklat dengan vest) beserta tuan rumah dari Indonesia...

Ini gambar Rumah Sakit M Djamil. Hospital pakar tempat saya dan kawan2 buat elektif semasa kami di tahun 4 di UIAM.

Rumah sakit M Djamil di pandangan sisi yang berbeza.

Ni masjid kat Ampang... kubah nak tercabut.

Kan betul, masjid kat Ampang, Padang.

Rumah yang tak boleh nak tinggal lagi.


Bangunan runtuh yang dah tak ada rupa

Rumah atap tercabut

Masih adakah yang selamat?



Bantuan makanan kepada yang memerlukan

Hotel yang rosak

Gereja pun kena.

Sekolah yang rosak..


MRA memerlukan RM 5 juta ringgit untuk meningkatkan lagi taraf hospital di sana, bantuan makanan dan ubat-ubatan serta mewujdkan sekolah untuk kawasan sekolah yang sudah ranap.

Monday, October 5, 2009

Aktif Seks Punca Kanser





Aktif seks punca kanser
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN (kosmo! online)

HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang

KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.

Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.

“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.

“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.

Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.

“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.

“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.

“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.


Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.

“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.

Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.

Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.

Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.

Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).

“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.

Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.

Vaksin

Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.

Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.

Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks

“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.

Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.

Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.

“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.

“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.

Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.

“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.

“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.

Kanser daripada sotong kering





Kanser daripada sotong kering - Mengandungi logam toksik sama seperti bateri, plastik dan baja fosfat


GEORGE TOWN - Ramai mengetahui keenakan sotong kering ditambah lagi jika dimasak sebagai sambal.

Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, tidak mungkin ramai pengguna sedar bahawa sotong kering kaya dengan gan logam toksik jenis kadmium, bahan yang sama digunakan dalam membuat ba teri, plastik dan baja fosfat.

"Kesan pengambilan kadmium mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang,'' kata Presidennya, S. M. Mohamed Idris pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, selain sotong kering, makanan

laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium tetapi pada kadar yang lebih rendah.

"Hasil ujian yang dilakukan mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering melebihi empat kali ganda had yang dibenarkan,'' ujarnya.

CAP membuktikan perkara itu melalui ujian rawak melibatkan enam sampel sotong kering dan hasilnya mendapati lima sampel mengandungi kadmium serta tiga daripadanya mempunyai kandungan logam itu secara berlebihan.

Perkembangan Misi Bantuan MRA di Padang






Assalamu'alaikum,
Semua exco, sukarelawan dan sahabat MRA.

Saya ingin maklumkan mesej pesanan ringkas dari sdr. Shahran Kassim dan Dr. Hyzan Yusof yang berada lapangan pascagempa di Padang, Sumatera Barat.

Semalam iaitu hari kedua misi MRA, waktu yang amat memenatkan dan hari yang penuh keadaan menyayat hati sambil menyaksikan kemusnahan. Benak pemikiran penduduk-penduduk di Padang masih dalam keadaan trauma dan hospital-hospital penuh sesak dengan pesakit-pesakit yang mengalami kecederaan.

Pasukan menyelamat dan mencari antarabangsa termasuk dari Britain, Perancis, Switzerland serta dunia Arab sedang menggeledah runtuhan bangunan secara berhati-hati untuk mencari mangsa-mangsa yang masih hidup. Mereka mengharapkan menemui keajaiban di bawah runtuhan bangunan. Dua mangsa ditemui masih hidup dan selamat di bawah runtuhan setelah 40 jam terperangkap bersama mayat-mayat mereka yang telah menemui ajal. Hari ini, pasukan SMART Malaysia akan memulakan usaha mencari menyelamat di Hotel Mariani, Padang. Harapan kita agar mereka berjaya mengeluarkan mangsa-mangsa yang masih hidup.

Melalui kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), para doktor, jururawat dan petugas perubatan MRA akan memberikan khidmat kepada mangsa gempabumi di Rumah Sakit Siti Rahmah, Hospital Daerah Kota Padang dan Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) di kawasan Penduhulu dan Pariaman. Rumah Sakit Umum RSU M. Djamil di Padang mengalami kerosakan akibat gempa.

Salam sejahtera.

Dr. Mohd Daud Sulaiman
Setiausaha Agung
MRA

Misi Kedua MRA ke Padang






Wa'alaikum salam dan salam sejahtera,
Semua exco, sukarelawan dan sahabat Malaysian Relief Agency(MRA).


Misi perubatan MRA kedua akan berlepas ke Padang petang ini dari LCCT yang dianggotai oleh Dr. Suryasmi dan 2 jururawat. Mereka dijadualkan akan bergabung dengan misi pertama yang diketuai Sdr. Shahran Kassim. MRA telah menyumbangkan bantuan kecemasan awal rakyat Malaysia sebanyak RM40,000 melalui misi pertama yang telah tiba pada petang 2/10/09. Misi kedua akan membawa tambahan dana sebanyak RM5,000 untuk bantuan seterusnya.

Dr. Hyzan Yusof selaku Ketua Misi Perubatan akan pulang lewat petang ini untuk memberikan maklumat serta laporan awal dari lapangan. Sdr. Khairil Anuar Khalid akan menggantikan Shahran yang akan kembali pada hari Rabu 7/10/09 untuk meneruskan usaha penyelarasan bantuan MRA dan rakan NGO di Sumatera Barat. MRA bekerjasama erat dengan Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII) dan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI). Kita juga telah memaklumkan kehadiran MRA di sana kepada pasukan Majlis Keselamatan Negara(MKN) yang mewakili kerajaan Malaysia yang baru tiba semalam. MRA telah mewujudkan bilik operasi sementara di Pariaman (kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa) bersama logistik asas untuk menampung kehadiran sukarelawan dari Malaysia.

Pasukan doktor, jururawat dan sukarelawan pertama dan kedua akan berada di sana selama seminggu dan misi perubatan MRA ketiga akan menyusul pada 10/09/09 yang akan dianggotai oleh 2 doktor, 1 ahli farmasi dan 2 jururawat.

Kita perlukan rakan-rakan dermawan untuk menghulurkan sumbangan dana kewangan ke Tabung Kemanusiaan Padang anjuran MRA untuk terus membantu mangsa gempabumi di sana. Terima kasih di atas segala sokongan moral dan juga doa semua teman-teman agar para sukarelawan kita selamat menabur bakti tanpa kesulitan.

Sumbangan ikhlas ke MRA boleh dibuat ke akaun ;

"Tabung Amanah Pesakit Malaysia"
(Bank Muamalat - 14-010000969716)

Sekian dulu.

Dr. Mohd. Daud Sulaiman
SUA
Malaysian Relief Agency (www.mra.my)

Friday, October 2, 2009

Laporan Hari Pertama Misi MRA ke Padang, Sumatera.





Pasukan pertama MRA telah pun tiba di Padang, Sumatera Barat tadi. Saya bawakan kepada anda laporan hari pertama misi rakan-rakan MRA kita di sana untuk perhatian semua.

Assalamu'alaikum,
Salam sejahtera kepada semua Exco dan Sahabat Malaysian Relief Agency (MRA)

Misi MRA yang pertama telah berlepas ke Padang jam 2.35 petang tadi dan telah selamat tiba di sana. Mereka telah disambut oleh rakan-rakan dari NGO Indonesia (Dewan Dakwah Islamiah Indonesia- DDII).

Menurut sdr. Shahran Kassim selaku ketua misi melalui perbualan telefon, kawasan yang paling teruk di landa gempa adalah Pariaman, di pinggir Padang di mana hampir 80% bangunan telah ranap.

Catatan SMS beliau sebentar tadi ....... kaum ibu berdoa di depan sebuah kolej yang ranap dan runtuh mengharapkan anak-anak kesayangan mereka bangkit keluar dan selamat dari runtuhan tersebut. Lebih seratus pelajar-pelajar dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan tersebut dan mungkin menemui maut. Hampir kebanyakan kawasan di kota Padang masih bergelap dan bekalan petrol serta makanan yang terhad.

MRA telah menyediakan bantuan kecemasan berbentuk makanan asas sebanyak 4 juta rupiah yang akan diedarkan segera kepada mangsa-mangsa gempabumi.

Dr Hyzan Yusof, Dr Dahlia Malik bersama 2 jururawat dari MRA akan mula bertugas di Rumah Sakit Siti Rahmah bermula esok pagi. Semangat pasukan pertama MRA sangat tinggi untuk membantu mereka yang menderita.

Laporan seterusnya; Rakan NGO Indonesia kita telahpun membuka pusat operasi bantuan mereka. Sebuah kapal terbang membawa pasukan bantuan kecemasan dari Switzerland telah tiba dan beroperasi. MRA masih belum bertemu dengan pasukan SMART dari Malaysia.

MRA baru dimaklumkan bahawa 60 petugas dari Majlis Keselamatan Negara Malaysia melalui pesawat TUDM akan berlepas dari Subang jam 9.00 pagi esok.

Saya akan update nanti untuk mengetahui keadaan dari lapangan.

Dr Daud Sulaiman
SUA
Malaysian Relief Agency

Pelancaran Tabung Kemanusiaan Sumatera oleh Malaysian Relief Agency (MRA)






Saya panjangkan surat Dr Mohd Daud Sulaiman (Pakar Jantung Damansara Specialist merangkap Setiausaha Agung MRA) kepada semua.

InsyaAllah, hari ini akan dilancarkan Tabung Kemanusiaan Sumatera oleh Malaysian Relief Agency (MRA) untuk bantuan mangsa bencana di sana. No akaun akan saya sertakan kemudian.

Wallahu Alam.


Assalamu'alaikum,
Semua exco dan sahabat MRA,

Malaysian Relief Agency akan melancarkan "Tabung Kemanusiaan Sumatera" esok di Hospital Pakar Al Islam bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk membantu mangsa-mangsa gempabumi di Padang, Sumatera Barat.

MRA akan menghantar misi pertama esok yang akan diketuai oleh sdr. Shahran Kassim. Misi dianggotai Dr. HyzanYusof (pakar bedah ortopedik dan trauma) yang juga Ketua Misi Perubatan MRA, Dr. Dahlia Abdul Malik (pegawai perubatan kanan) yang juga sahabat MRA dan 2 jururawat terlatih dari Hospital Pakar Al Islam, Kg. Baru. Sdr. Arsil Ibrahim dari Jakarta akan turut menyertai mereka nanti di Padang.

Mereka akan berada di lapangan dari 2-10 Oktober 2009. MRA akan menghulurkan bantuan awal sebanyak RM30,000 melalui misi ini. Kita mengucapkan ribuan penghargaan kepada pengurusan Hospital Al Islam kerana telah menyumbangkan RM10,000 untuk dana tersebut.

Saya bagi pihak MRA ingin mengalu-alukan sumbangan tenaga, idea dan kewangan untuk menjayakan usaha murni ini. Semua exco dan sahabat MRA diharap dapat bersedia untuk mengisi atau menjayakan misi-misi MRA ke Sumatera jika diperlukan nanti. InsyaAllah, semoga Allah mempermudahkan usaha-usaha kita untuk membantu mereka yang menderita.

Saya akan update jika ada perkembangan terbaru atau boleh berhubung terus dengan sdri. Fauziah Tahar selaku pegawai eksekutif MRA (HP: 012 2096577) untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.

Dr Mohd Daud Sulaiman (HP: 012 2900150)
SUA
Malaysian Relief Agency
Related Posts with Thumbnails