Tuesday, October 12, 2010

Mangsa banjir Pakistan perlu bantuan


PEMANDANGAN dari udara merakamkan daerah Jampur di wilayah Rajanpur ditenggelami air akibat banjir buruk sejak empat minggu lalu.


KUALA LUMPUR 29 Ogos – “Hati amat sebak melihat seorang kanak-kanak yang susu dalam gelasnya terjatuh akibat pegangan tangan tidak kuat, mungkin kerana terlalu lapar, langsung tidak berebut meminta susu baru tetapi sebaliknya berundur memberi laluan kepada rakan sebaya lain mengambil bekalan.

“Saya yang memerhati perlakuannya begitu tersentuh. Kanak-kanak itu berundur sambil menahan tangisan dengan ekor matanya sayu melihat kanak-kanak lain meneguk lazat susu masing-masing.

“Saya menghampirinya dan cuba memujuk sambil memberikan segelas susu baru dan pada saat inilah perasaan sebak kanak-kanak itu tidak lagi mampu ditahan, dia menangis semahu-mahunya.”

Itu cerita Pengarah Perubatan Malaysian Relief Agency (MRA), Dr. Shahrizal Azwan Samsudin (gambar), 32, yang berada selama seminggu di kawasan bencana banjir besar di Pakistan.

MRA pada 20 Ogos lalu menghantar Dr. Shahrizal Azwan bersama seorang lagi sukarelawan MRA dalam misi kemanusiaan pertama dengan dana bantuan kecemasan bernilai RM42,000 untuk disampaikan terus kepada mangsa-mangsa banjir.

Ia juga bertujuan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan segera oleh MRA termasuk mengeratkan kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang telah bergerak sejak wilayah itu dilanda bencana tersebut.

Banjir yang melanda hampir keseluruhan utara Pakistan itu merupakan yang paling teruk dalam tempoh 100 tahun dengan lebih 1,600 orang terkorban, 30,000 buah rumah hanyut dan hampir empat juta orang dipindahkan serta dianggarkan 20 juta penduduk negara itu menerima kesannya.

Beliau yang berada di Pakistan selama seminggu bermula 20 Ogos lalu mengadakan sidang akhbar di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di sini, sejurus pulang ke tanah air, semalam.

Dr. Shahrizal Azwan ,menambah, menurut penduduk tempatan, limpahan air dari Sungai Indus hasil gabungan sembilan sungai utama itu datang secara tiba-tiba, seperti kisah banjir besar Nabi Nuh.

Malah, katanya, walaupun banjir besar itu mula melanda wilayah itu pada 28 Julai lalu iaitu kira-kira sebulan tetapi limpahan airnya seperti tidak mahu surut, masih lagi deras hingga berterusan meruntuhkan beberapa jambatan utama yang menghubungkan beberapa kampung.

“Daripada video yang dirakamkan oleh pasukan MRA ini jelas menunjukkan aliran deras sungai itu hampir menyamai apa yang berlaku semasa tragedi tsunami 2004, walaupun sudah sebulan banjir besar itu melanda tetapi keadaannya seperti baru terjadi.

“Banjir itu juga membawa lumpur tebal yang merosakkan dan meruntuhkan kebanyakan rumah dan sekolah serta membunuh berpuluh ribu ternakan dan tanaman yang menjadi pergantungan penduduk,” katanya.

Tambah Dr. Shahrizal Azwan, hampir 70 peratus mangsa yang terlibat terutama di kawasan yang paling teruk di Charsada dan Nowshera merupakan penduduk miskin yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti penternakan dan pertanian.

Mereka ini, katanya, menetap di sepanjang jajaran Sungai Indus iaitu kawasan paling subur dan sesuai bagi dijalankan aktiviti mata pencarian itu.

“Dua kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk lebih 1.4 juta orang dan kebanyakan rumah mereka diperbuat daripada tanah, iaitu salah satu faktor yang menyebabkan kediaman mereka mudah rosak apabila dilimpahi banjir besar,” katanya.

Tambah Dr. Shahrizal Azwan lagi, selain rumah dan kawasan pertanian yang rosak, banjir turut memusnahkan kemudahan kesihatan dan pendidikan seperti klinik, hospital dan sekolah.

Kebanyakannya masih lagi dalam fasa pembangunan semula akibat rosak teruk selepas tragedi gempa bumi 2005.

Hasil pemerhatian dalam misi kemanusiaan pertama itu dengan mendapat kerjasama NGO tempatan seperti Pakistan Islamic Medical Association (PIMA) dan Islamic Relief Agency Trust Of Pakistan (Isra), Hashim Welfare Hospital dan Al-Khidmat Foundation, MRA akan melaksanakan beberapa bantuan jangka masa sederhana.

Tiga program utama itu adalah bekalan air bersih, susu untuk kanak-kanak dan bantuan asas keperluan dapur, selain bantuan segera yang disalurkan seperti kit kebersihan, air minuman bersih dan makanan untuk berbuka puasa.

n Bekalan air bersih berkala dan kekal:

- nMRA merancang menyumbangkan pam air tanah yang akan diletakkan di kawasan strategik bernilai kira-kira RM800 setiap satu.

- nPenyediaan tangki air sementara yang menelan kos RM1,300 bagi tempoh dua minggu.

n Pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir dengan kerjasama Al-Khidmat Foundation yang telah membina sebanyak 17,000 buah rumah kekal sejak beberapa bencana sebelum ini.

n Membaik pulih masjid yang musnah bagi dijadikan sebagai pusat komuniti setempat.

n Membina kilang blok batu-bata bagi membina rumah yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM18,500 bagi sebuah kilang.

n Penyediaan bantuan biji-benih dan binatang ternakan bagi membolehkan mangsa banjir memulakan kehidupan baru selepas bencana ini pulih.

Dalam pada itu, Dr. Shahrizal Azwan turut menyenaraikan beberapa isu yang tidak boleh dipandang mudah oleh MRA atau mana-mana NGO yang berhajat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir.

Antaranya, kata beliau, mengenai bekalan kemanusiaan sama ada praktikal ia dikumpulkan di Malaysia bagi dihantar ke Pakistan atau dibeli terus di negara tersebut.

“Sebenarnya jika dihantar dari Malaysia ia melibatkan kos tinggi termasuk kos kargo penghantaran dan hasil pemerhatian adalah lebih praktikal dan murah jika dibeli terus di Pakistan.

“Bantuan dari segi pakaian dan selimut amat perlu disegerakan kerana dalam beberapa bulan lagi kawasan bencana itu akan dilanda musim sejuk, ia dikhuatiri akan menambahkan lagi krisis kemanusiaan,” katanya.

Dr. Shahrizal Azwan mengakui bantuan daripada pihak luar memang diterima tetapi tidak memberangsangkan yang mungkin berpunca daripada beberapa faktor seperti momokan aktiviti keganasan dan kegiatan serangan bom berani mati yang memang berlaku.

“Dalam masa seminggu saya di sini, tiga kejadian serangan bom berani mati berlaku di sekitar Peshawar iaitu yang terletak kira-kira 28 kilometer dari Charsada dan Nowshera.

“Selain itu faktor keselamatan juga perlu diambil kira, hasil maklumat NGO tempatan terdapat beberapa kes yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, semuanya itu langsung tidak menjadi penghalang kepada usaha murni MRA yang berpegang teguh kepada moto, ‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain’.

Malah, ia menjadi perangsang pihaknya meneruskan misi kemanusiaan memandangkan sambutan dan kerjasama mangsa banjir menggalakkan, menyanjung usaha murni negara ini yang bertungkus-lumus membantu meringankan penderitaan mereka.

No comments:

Related Posts with Thumbnails