Friday, November 30, 2007

Harga Tepung Roti Naik Melambung!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Alhamdulillah, permintaan roti untuk Ummusofeya kembali baik. Ini berikutan terdapat orang tengah yang datang untuk mengambil roti dari rumah dan diedarkan ke tempat-tempat jualan. Kebelakangan ini bisnes UmmuSofeya agak suram disebabkan oleh raya dan cuti sekolah.
Untuk pengetahuan anda kami mengedar roti ke kantin-kantin sekolah dan bilik guru. Semasa bulan puasa kami aktif menjual kuih raya. Kami telah kembali meningkatkan pengeluaran kepada 7kg - 8 kg setiap hari atau selang sehari bermula 2 minggu lepas.

Di sebalik cerita gembira, ada juga berita sedihnya. Ini adalah berikutan harga tepung roti yang naik secara mendadak. Terasa kenaikan tepung roti yang melambung ini begitu membebankan sehinggakan saya terpaksa menaikkan harga roti saya sebanyak RM 0.10 untuk menyerap kenaikan kos.

Beberapa bulan yang lepas, harga tepung "Gunung Mas" yang dijual di Bake with Yen ialah RM 56.00 setiap 25 kg. Manakala harga tepung "Diamond" di TESCO dan TESCO Extra ialah RM 49.00 setiap 25 kg.

2 minggu lepas, harga tepung "gunung mas" telah naik kepada RM 66.00 setiap 25 kg (RM 56 harga lama) - naik RM 10! Manakala harga tepung "Diamond" naik kepada RM 60.00 setiap 25 kg (RM 49 harga lama)- Naik RM 11.00.

Mengikut beberapa peniaga bakeri bumiputera, kenaikan ketara ini adalah kerana kenaikan harga pengilang yang semuanya bukan bumiputera. Kenaikan ini hampir 0.40 sen sekilogram dan betul-betul menyusahkan peniaga. Dikatakan sebelum Disember 2006 - harga tepung roti cuma RM 35.00 setiap 25 kg sahaja.

Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa harga tepung tidak naik, saya berpendapat itu mungkin tepung gandum untuk membuat roti canai. Walaupun begitu dah ada kedai mamak dah naikkan harga roti canai dari RM 0.70 sekeping ke RM 0.90 sekeping.

Harga tepung roti pula dijangka akan naik lagi. Sekiranya terus naik, bukan usahawan bakeri sahaja akan terjejas, malah harga roti sandwich di dalam pasaran yang dikeluarkan oleh kilang-kilang roti gergasi juga akan meningkat.

Cadangan untuk meletakkan harga tepung roti sebagai barang kawalan patut dilaksanakan kerana ia juga melibatkan pengguna seperti kita. Sekiranya harga minyak naik, tidak tahulah apa yang akan berlaku kepada harga tepung roti... yang pastinya ia tak akan menurun.

Wallahu A'lam.

Thursday, November 29, 2007

Ke Arah Melahirkan Wakil Rakyat Malaysia yang "Witty"

Assalamualaikum Warahmatullah...

Terima kasih di atas sokongan dan kehadiran anda ke dalam blog saya yang tak seberapa ini. Alhamdulilllah, di dalam minggu ini kehadiran pembaca telah mencapai ke angka 420 orang. Paling tinggi di dalam sejarah semenjak blog ini ditulis. Mungkin ada beberapa artikel yang menarik minat anda.

Saya mendapat sedikit inspirasi untuk meletakkan video klip ini dari blog Sdr. blalang iaitu http://www.isuhangat.blogspot.com/. Blog isuhangat ini juga sangat menarik dan penuh dengan informasi, silalah jemput ke sana. Setelah mencari-cari video klip yang panas ini di dalam youtube maka akhirnya terjumpa lah juga saya.

Video klip ini adalah tentang rakaman salah seorang DUN Kelantan yang hilang sabar setelah diprovokasi dan menendang seorang DUN Kelantan yang lain. Dengar ceritanya, beliau telah pun di rehatkan selama 6 bulan. Mungkin para pembaca tidak beberapa mendengar kisah ini daripada arus perdana kerana DUN tersebut merupakan ahli pembangkang di Kelantan. Mujur juga ada youtube...



Pertama-tama sekali apabila kita melihat perwatakan ahli politik DUN Kelantan ni rasa berdebar-debar juga. Maklumlah, bukan sahaja serangan mulut dilancarkan tetapi siap ada serangan fizikal lagi. Tapi bila dah banyak kali tengok, jadi tersengih pulak. Segan pun ada... Apa tak disegankan, inilah level politik kita sebenarnya.

Tapi biasalah dalam politik... Sedangkan Perhimpunan Agung MIC pun ada yang berdarah-darah kepala kan. Samseng politik nih mana-mana kumpulan ada. Itulah politik namanya.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, di dalam bidang politik, ia tidak lari dengan provokasi terutama ketika berbahas di Dewan Rakyat kan. Bergantung dengan kemahiran seseorang wakil rakyat untuk mengembalikan "paku buah keras" dengan sebuah lagi "paku buah keras". Jikalau ditengok Dato' Samy Vellu menjawab soalan Lim Kit Siang.. selama dekk dia jer. Tak simpan dalam hati pun.. lepas keluar dewan sama sama minum kopi, hisap curut macam tak de apa-apa je sebelum tu..

Mungkin sebab lain-lain bangsa agaknya. Mungkin jika sama-sama melayu atau sama-sama India, sensitiviti dia mungkin lebih daripada biasa. Mungkin kemarahan yang lebih membara bila diorang ingat melayu ni nak tikam melayu atau india pulak tikam india apabila berbahas. Ada pulak saya dengar orang kata tentang kes kandang babi kat Melaka, DAP ngan MCA senyum-senyum je depan suratkhabar. Tak gaduh pun. Haa.. cina ngan cina mungkin tak macam bangsa kita. Watawa Sau bil Haqq!

Kalau rasa-rasa nak serang DUN lain dengan "tendangan padu maut" sebab diprovokasi, melenting tak tentu pasal dan bermasalah untuk mengawal marah susah juga. Sebab politik memang penuh warna-warni. Kalau semua orang kena provoke jadi macam DUN kita sorang ni tiba-tiba kena sawan saja, tak jadi cerita lah politik Malaysia. Macam parlimen Taiwan la.. baling-balik kerusi - campak-campak meja. Akhirnya jadi bahan cerita di dalam "Ripley's Believe it Or Not!"

Apapun, kalau dilihat parlimen Britain, ahli parlimennya mempunyai kelas yang tersendiri. Intelektual dan "witty"... Apa yer "witty" nih.. nak kata bijak menjawab cam Dato' Samy Vellu melebih-lebih pulak kan. Ramai pulak yang tak setuju kang, terutama Mr Nallakarupan. Semasa Tony Blair memerintah di Parlimen Britain, anda patut lihat bagaimana cara dia menjawab apabila di soal.. Biarpun dihentam teruk dengan isu "berkhalwat" dengan Presiden Bush... perghh... tepat, cantik dan "full of wit".

Bilakah kita akan kita mampu melahirkan golongan ahli parlimen yang lebih bersopan, bijak, "witty" dan beretika ketika membahas di Dewan Parlimen atau Dewan Rakyat. Mungkin 20 tahun lagi? Marilah kita sama-sama berdoa.. Insya Allah.

MEMILIKI MAHLIGAI PERTAMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Membeli sebuah rumah untuk tinggal di dalamnya bersama ahli keluarga adalah suatu yang menjadi impian semua orang. Rumah tersebut tidak perlu terlalu besar. Sekadar sesuai untuk semua ahli duduk bersama-sama untuk bercerita tentang hal harian masing-masing, tempat makan untuk makan bersama dan cukup bilik untuk setiap orang tidur dengan nyenyak samada berkongsi katil ataupun tidak. Ada yang memilih rumah yang mempunyai tanah, ada yang tidak. Satu kajian menunjukkan bahawa orang Asia mempunyai kesukaan untuk membeli rumah yang bertanah sekiranya mempunyai kewangan yang baik, manakala Mat Salleh pula tidak beberapa kisah. Walaupun begitu, membeli rumah untuk tinggal sendiri perlu mengikut kemampuan kewangan pasangan yang membeli.

Membeli rumah adalah satu pelaburan yang sangat besar. Ia dikatakan satu-satunya pelaburan yang melibatkan wang beratus ribu ringgit sepanjang hidup kita. Ada yang mengeluarkan wang sehingga berjuta-juta untuk membeli sebuah rumah. Pendekata, ada di antara kita yang dengan bebanan kewangan yang ada akan hanya mampu memiliki SATU buah rumah sahaja seumur hidup. Wajarkah dengan menghabiskan wang yang begitu banyak kita hanya memandang mudah sahaja kriteria untuk membeli sebuah rumah?


Membeli rumah menelan belanja yang sangat besar bergantung kepada harga rumah. Ini adalah kerana membeli sebuah rumah yang berharga RM 200,000, menurut kiraan bank semasa, kita dikehendaki mengeluarkan wang sebanyak RM 20,000 sekurang-kurangnya untuk membayar deposit 10% dan baki RM 180,000 akan diselesaikan melalui pinjaman bank.

Sekiranya pinjaman bank mempunyai interest sebanyak 6% setahun selama 30 tahun maka keseluruhan interest adalah sebanyak 180% untuk 30 tahun. Maknanya secara ringkas jumlah interest dan pinjaman pokok yang perlu dibayar ke bank selama 30 tahun ialah RM 388,000 (dikira mengikut kalkulator bank). Ia adalah RM 188,000 lebih daripada harga rumah yang dibeli.

Untuk membeli sebuah rumah yang bernilai RM 200,000, terdapat pelbagai lagi bayaran yang harus disediakan selain daripada RM 20,000 @ deposit 10% tadi. Bayaran-bayaran lain adalah bayaran guaman dan duti setem yang dikenakan untuk menguruskan perjanjian jual beli. Setelah perjanjian jual beli dimeterai, yuran guaman termasuk urusan fotostat, pengangkutan, telefon dan stamping jual beli perlu dibayar dahulu. Jumlah yuran guaman juga boleh mencecah sehingga RM 3000.00.

Setem duti dikira sebanyak 1% daripada RM 100,000 yang pertama dan 2% untuk RM 100,000 berikutnya sehingga ke harga setengah juta. Setem duti adalah pembayaran ke pejabat tanah dan tidak ada kena mengena dengan bayaran kepada peguam. Untuk rumah yang biasa-biasa sahaja, setem duti boleh mencecah sehingga RM 3000. Jadi, jumlah bayaran kepada pihak peguam untuk menyelesaikan urusan pembelian rumah boleh mencecah sehingga RM 6000 untuk kedua-dua bayaran yuran guaman dan setem duti.


Ia tidak berhenti di situ. Untuk pinjaman melalui bank, bayaran guaman kepada peguam bank juga akan dikenakan sebagai yuran menyediakan deed of assigment. (Kita berurusan dengan 2 peguam - peguam untuk beli rumah dan peguam bank). Untuk urusan lebih mudah, ramai orang menggunakan peguam yang sama untuk urusan pembelian rumah dan urusan pinjaman bank. Tetapi ini juga tertakluk kepada panel bank yang diwakili peguam itu.

Oleh itu sekiranya dicampurkan segala ongkosnya, duit yang perlu disediakan untuk membeli rumah yang berharga RM 200,000 boleh mencecah sehingga RM 30,000.


Adakah simpanan akaun 2 anda di KWSP mencukupi untuk membayar 10% duit pendahuluan untuk membeli rumah?. Biar kita kira sama-sama kira. Sekiranya gaji anda RM 3000 ke atas, simpanan bulanan KWSP untuk akaun 2 adalah lebih kurang RM 300 sebulan (30% daripada jumlah potongan KWSP termasuk caruman majikan). Untuk mencapai ke angka RM 30,000, anda harus menyimpan selama 100 bulan atau lebih daripada 8 TAHUN!. Ini bermakna sekiranya anda hanya mengharapkan wang dari KWSP, anda hanya boleh membeli rumah sendiri pada umur 30 tahun sekiranya gaji anda RM 3000 ke atas dan mula bekerja pada umur 22 tahun. Tetapi jikalau isteri juga mencarum di KWSP mungkin proses ini lebih pantas.

Memandangkan kesukaran yang dihadapi untuk membeli sebuah rumah, anda sepatutnya lebih BERHATI-HATI memilih rumah pertama yang anda ingin beli kerana ia mungkin akan menjadi rumah terakhir anda.
Wallahu A'lam..

Tuesday, November 27, 2007

Menjadi Penulis Jutawan oleh Nimoiz TY


Assalamualaikum


Saya baru sahaja membaca sebuah buku bertajuk "Menjadi Penulis Jutawan" tulisan Nimoiz TY atau nama sebenarnya Nik Mohd Iznan B. Tuan Yaakub. Buku ini adalah terbitan penerbit terkenal Truewealth Publishing. Ia mempunyai 36 buah bab dan berjumlah 250 helai muka surat.

Buku ini sangat baik kerana Nimoiz TY menjadikan bidang penulisan seolah-olah sangat mudah dan semua orang boleh menjadi penulis. Buku ini menggariskan kriteria-kriteria untuk menjadi seorang penulis yang baik. Ia menceritakan beberapa peringkat penulisan, juga menelusuri cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh seorang penulis langkah demi langkah dan menyentuh daripada semua aspek penulisan samada penulisan secara kreatif ataupun fakta.
Untuk menjadikan buku ini istimewa, Nimoiz TY juga menyentuh bagaimana untuk menulis di pentas pertandingan atau litar sayembara. Beliau memang wajar menyentuh isu ini memandangkan pengalaman beliau menyertai banyak sayembara puisi dan cerpen-cerpen kreatif anjuran pelbagai persatuan karyawan dan memenanginya.

Apa yang membuat saya sangat tertarik tentang buku ini ialah ketika Nimoiz TY menyentuh hubungan di antara penulis dan Editor. Seperti yang beliau tulis, editor juga adalah manusia biasa dan mempunyai banyak beban tugas. Tugas penulis bukan sahaja menukar dan menterjemah idea ke dalam bentuk tulisan, tetapi juga memahami kehendak editor dan memudahkan tugas mereka.

Bab lain yang disentuh ialah hubungan penulis dengan peminat dan penulis dengan rakan penulis. Penulis mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Siapakah penulis tanpa peminat? Sepatutnya penulis tidak sombong dan sentiasa menjaga hubungan di antara penulis dan peminat. Begitu juga etika perhubungan di antara penulis dengan rakan penulis yang lain. Sentiasa berhubungan, bertanya khabar dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan antara rakan penulis adalah cara-cara menjaga etika ukhuwah antara sesama penulis.


Namun, tidak seceria tajuknya "menjadi penulis jutawan", unsur jutawan tidak ditekankan sangat di dalam buku ini. Selain daripada contoh luar negara seperti JK Rowling dan "Harry Porter" nya serta mentor Azizi Ali dengan buku-bukunya, tidak ada contoh penulis jutawan di dalam negara yang diketengahkan oleh beliau. Penulis yang hebat berjaya diketengahkan dengan berkesan, tetapi penulis jutawan belum lagi.


Walaubagaimanapun, saya menyarankan anda memiliki buku hebat ini terutama kepada mereka yang berminat di dalam bidang penulisan kerana langkah demi langkah yang diketengahkan oleh Nimoiz TY adalah sangat praktikal. Ia amat sesuai dibaca oleh penulis blog, penulis bahan eceran dan bakal penulis novel yang dahagakan ilmu pengetahuan. Nimoiz TY adalah orangnya!


Monday, November 26, 2007

HYDROQUINONE - Mengapa Diharamkan?

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pada 21 November yang lepas, keluar berita pembatalan pendaftaran untuk produk Syarikat Sendayu Tinggi iaitu sabun berjenama Cool and Lightening kerana mempunyai sejenis racun yang dipanggil Hydroquinone. Di sini saya sertakan sedikit potongan artikel berkenaan tentang pengharaman tersebut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia:-

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Produk kosmetik jenama Cool and Lightening Soap keluaran Sendayu Tinggi Body dan Skincare (M) Sdn. Bhd. adalah antara barangan yang dibatalkan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Produk itu dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone yang boleh menyebabkan pigmentasi dan risiko kanser kulit. PBKD dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, bahan itu juga boleh mendatangkan kesan sampingan seperti kemerahan dan perubahan warna kulit selain kulit menjadi terlalu sensitif.

Sebelum daripada peristiwa di atas iaitu pada tahun 2000, Syarikat Nouvelle Beauty Centre juga telah didapati melakukan kesalahan yang sama oleh Kementerian Kesihatan. Dua daripada tiga barangan kosmetik mereka iaitu Night cream dan Peeling cream telah didapati mengandungi bahan beracun hydroquinone.

Apapun ramai selebriti menggunakan hydroquinone. Salah seorang selebriti terkenal di dunia yang dikatakan menggunakan Hydroquinone ialah Michael Jackson.

Sebelum kita pergi lebih jauh, apakata kita mendalami serba ringkas tentang warna kulit.

BAGAIMANA WARNA KULIT TERHASIL?

Secara normal fisiologi, warna kulit berasal daripada melanin yang merupakan pigmen berwana coklat kegelapan. Melanin dihasilkan daripada melanocytes yang terletak di bawah kulit. Selain daripada kulit, ia juga menjadikan rambut berwarna gelap. Cahaya matahari menjadikan lebih banyak melanin dihasilkan di dalam kulit menyebabkan kulit menjadi semakin gelap (tanned) ketika lama berjemur di bawah cahaya matahari.

Melanin sangat penting kepada kulit kerana ia bertindak sebagai pelindung cahaya matahari. Melanin melindungi cahaya Ultraviolet yang merbahaya daripada menembusi lapisan dalam kulit.


APAKAH ITU HYDROQUINONE?

Hydroquinone ualah sejenis persediaan bahan kimia yang boleh didapati di dalam kosmetik. Penggunaan hydroquinone adalah untuk membunuh melanocytes, sejenis sel yang bertindak menghasilkan melanin. Untuk itu kulit akan kelihatan cerah dan semakin putih.

Di Malaysia terdapat 2 jenis Hydroquinone yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu Hydroquinone 2% dan Hydroquinone 4%. Peratusan (2% atau 4%) adalah merujuk kepada kandungan hydroquinone di dalam persediaan itu. Adakalanya peratusan hydroquinone boleh mencapai sehingga 10%.

Mengikut sumber Pusat Racun Negara, syarikat kosmetik hanya dibenarkan menggunakan hydroquinone 2% sahaja. Untuk hydroquinone 4%, ia boleh digunakan dengan arahan atau preskripsi daripada doktor. Pakar kecantikan juga tidak dibenarkan menggunakan hydroquinone 4%.

BAGAIMANA HYDROQUINONE DIGUNAKAN?

Cuma Hydroquinone topikal atau jenis sapu di kulit adalah persediaan yang dibenarkan di Malaysia. Pada kebiasaanya ia disapu pada kulit 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.

Ia tidak boleh digunakan berhampiran mulut atau mata. Ia juga tidak boleh digunakan pada kesan terbakar cahaya matahari (sun burn) ataupun di tempat luka.

Kesan perubahan boleh dilihat di dalam masa 4- 6 minggu. Ketika menggunakan hydroquinone, kulit akan menjadi sensitif dan cahaya matahari hendaklah dielakkan.

Kesan pencerahan hydroquinone bertahan hanya selama 4-6 bulan dan tidak berkekalan. Oleh itu, penggunaan krim haruslah berterusan.

Sekiranya tiada kesan selepas 3 bulan, aplikasi hydroquinone perlu diberhentikan.


MENGAPA HYDROQUINONE BOLEH MEMBAHAYAKAN KESIHATAN?

Pada tahun 2006, FDA (Food and Drug Association) di Amerika telah mencadangkan untuk mengharamkan penjualan hydroquinone 2% kepada orang ramai tanpa kebenaran doktor. Ini bermakna hanya doktor sahaja yang boleh meluluskan penggunaan hydroquinone walaupun dengan kekuatan 2%. Walaupun ia masih di dalam cadangan, tetapi ini menunjukkan bahan ini boleh mendatangkan bahaya dan tidak sesuai dijual tanpa preskripsi.

Jika digunakan sedikit, antara kesan sampingannya ialah kesan terbakar dan merah pada tempat yang disapu. Adakalanya kulit tersebut menjadi lebih gelap dari sebelumnya sebelum ia lama kelamaan berkurangan.

Kesan allergi kepada hydroquinone juga telah dilihat kepada si pemakai. Allergic contact dermatitis adalah alahan kulit apabila terkena ubat ini. (lihat gambar sebelah)

Ochronosis adalah satu penyakit kulit yang jarang-jarang berlaku ketika menggunakan hydroquinone. Ia menyebabkan kulit menjadi tebal dan hitam di tempat kulit terdedah kepada bahan itu. Ia biasanya berlaku kepada orang kulit hitam.

Walaupun tiada data yang lengkap kepada manusia, eksperimen kepada binatang menunjukkan kaitan di antara hydroquinone dengan kanser kulit. Ada juga hypothesis (belum dibuktikan) yang mengaitkan bahan ini dengan kanser leukemia. Ini adalah kerana hydroquinone adalah hasil metabolite daripada penguraian benzene, sejenis penyebab kanser.

Penggunaan hydroquinone oleh ibu mengandung dan yang sedang menyusu harus dielakkan kerana tidak ada kajian khusus telah dijalankan.

APA PENDAPAT ANDA?

Mungkin anda ingin menilai semula penggunaan hydroquinone di wajah anda setelah segala fakta ini dibentangkan. Sekiranya hydroquinone hanya dibenarkan pengambilan secara preskripsi, ia adalah satu langkah yang wajar. Ini kerana kebaikan pengambilannya jauh lebih ringan berbanding dengan keburukannya.

Wallahu A'lam.




Thursday, November 22, 2007

BAGAIMANA NAK KURANGKAN 50% PENGGUNAAN PETROL

Assalamualaikum Warahmatullah...

Presiden Venezuela, Hugo Chaves yang lantang mengkritik Presiden Amerika Syarikat pernah membuat kenyataan baru-baru ini iaitu sekiranya Amerika Syarikat menyerang Iran, yang merupakan sekutu kepada Venezuela, harga setong minyak dunia boleh meningkat kepada USD $200 setong.

Itu adalah senario yang menakutkan sekiranya ia benar-benar berlaku. Berapa agaknya harga seliter petrol di Malaysia ketika itu. Usah ditunggu saat itu, ketika ini pun kita sudah risau dengan cerita minyak naik harga mulai tahun hadapan.

Untuk mengurangkan kerisauan yang bersarang di hati anda, saya ingin berkongsi beberapa tips penting yang saya petik daripada buku "The Money Book - A CAP Guide to Managing Your Money & More" terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Ia adalah sebuah buku berbahasa inggeris yang anda "mesti beli" pada pandangan saya, kerana kepentingan isu-isu yang berkaitan dengan belanjawan diri dan keluarga berdasarkan situasi tempatan.


"MEMANDU UNTUK BERJIMAT"

Dengan memerhatikan tatacara di bawah anda akan dapati bahawa ia akan mengurangkan 30% hingga 50% penggunaan minyak kereta anda.

PEMANASAN ENJIN SELAMA 30 SAAT

  • Panaskan enjin selama 30 saat sahaja. Enjin kereta panas lebih berkesan semasa kereta bergerak.
  • Memanaskan enjin lebih 30 saat bukan sahaja membazir minyak tetapi boleh merosakkan enjin kerana pelinciran enjin lebih berkesan ketika kereta bergerak. (Kepada yang tak bersetuju... ni CAP yang bagitahu)

ELAKKAN MEMULAKAN PERJALANAN DENGAN KASAR

  • Tekan minyak perlahan-perlahan ketika memulakan perjalanan.

PANDU DENGAN KELAJUAN SEDERHANA

  • Tekan pedal minyak dengan lembut (lembut seumpama ditekan bulu ayam.. CAP yang tulis camtu)
  • Memandu di bawah halaju perjalanan lebih menjimatkan minyak daripada memandu laju.
ELAKKAN MENGGUNAKAN GEAR RENDAH
  • Cuba kekalkan halaju kereta lebih daripada 35 km/jam
  • Langkah gear dari gear 1 terus ke gear 3 atau 4 ketika kereta menuruni bukit atau melalui jalan rata.
  • Tukar gear secepat mungkin ketika menaiki bukit.
  • Apabila memandu secara automatik, tingkatkan halaju anda dengan segera
  • Jangan andaikan bahawa anda perlu memandu di lebuhraya sahaja untuk menggunakan gear 5. Seboleh-bolehnya pandu dengan gear 5 di mana sahaja walaupun berada di dalam jalan yang kecil.

CARA MENAIKI BUKIT

  • Memandu menaiki bukit lebih menggunakan minyak.
  • Tingkat kelajuan sebelum menghampiri kawasan bukit.
  • Momentum yang terbina hasil daripada kelajuan tadi memudahkan pendakian. Tidak perlu menekan pedal minyak terlalu kuat yang boleh menyebabkan pembaziran.

JAGA TEKANAN TAYAR

  • Tayar yang tidak cukup angin menyebabkan penggunaan minyak yang banyak. Bukan itu sahaja ia boleh merosakkan tayar dan brek.
  • Tayar yang mempunyai tekanan angin terlalu tinggi juga boleh merosakkan bunga tayar.

PILIH JALAN YANG SESUAI

  • Jalan yang sesak, kerap berhenti boleh membuang masa dan minyak.

  • Jalan raya yang kasar, berlubang-lubang dan tidak sekata menambah penggunaan minyak sebanyak 30%.

  • Pilih jalan yang jauh sedikit, rata dan cantik daripada dekat tetapi berbukit, kasar dan sibuk.
  • Cuba pilih tempat parking kereta anda paling hampir dengan pintu masuk bangunan yang ingin dituju.

ANGGAR SITUASI PERJALANAN

  • Cuba jarak kenderaan anda sekurang-kurangnya 2-3 kereta supaya anda tidak perlu kerap berhenti sekiranya kereta depan menekan brek.
  • Brek secara kerap menyebabkan kereta menjadi perlahan. Minyak lebih banyak digunakan untuk memulakan kembali perjalanan.
  • Minyak digunakan 6x lebih banyak untuk memulakan perjalan semula selepas kereta berhenti betul (keadaan pegun) daripada menekan minyak daripada kereta yang masih bergerak perlahan.

ELAKKAN MENUNGGU

  • Sekiranya anda terpaksa menunggu seseorang di dalam kereta, matikan enjin.
  • Lebih murah untuk menghidupkan semula enjin daripada menunggu 1 minit di dalam kenderaan dengan enjin yang masih hidup.

ELAKKAN RINTANGAN ANGIN

  • Kereta yang dicipta dengan aero dinamik lebih lancar dan kurang rintangan angin. Oleh sebab itu ia lebih jimat.
  • Untuk mengurangkan rintangan angin, sentiasa memandu dengan menutup tingkap sekiranya halaju melebihi 60 km/jam.
  • Jangan membawa barangan terlalu berat. Berat melebihi 45 kg akan menggunakan minyak 1% lebih daripada biasa.
Ini adalah tips daripada buku yang saya baca yang saya kira agak praktikal. Saya dah mencuba dan nampak ada kesannya. Mungkin anda boleh cuba dan kongsi kejayaan anda bersama-sama saya...

P/s Pssst... saya ada baca satu tips daripada surat khabar... Ia tulis.. kalau nak kurangkan penggunaan minyak.. selalu-selalu lah langgar lampu merah.. hehe :) .. Bukan saya cakap yer.. surat khabar tuh yang tulis... :)

Wednesday, November 21, 2007

RM 5.4 bilion Untuk Dibakar..Hangus...

Assalamualaikum Warahmatullah,



Ini adalah petikan daripada Utusan Malaysia hari ini, di muka hadapan 21 November 2007:-


KUALA LUMPUR 20 Nov. –
Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon. Beliau berkata, angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Menurutnya, peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

‘‘Mereka yang meninggal dunia menyebabkan keluarga kehilangan punca pendapatan sementara yang berpenyakit kronik seperti strok akan terus melibatkan kos rawatan yang tinggi,’’ katanya.

Banyak perkara boleh dilaksanakan dengan RM 15 juta yang dihanguskan oleh 3 juta perokok Malaysia di dalam masa sehari. Itu adalah RM 450 juta sebulan dan 5.4 billion setahun.


Apa yang boleh dilakukan dengan RM 450 juta sebulan atau 5.4 billion setahun?
Kos untuk menghantar Angkasawan Negara kita ialah hampir RM 100 juta. Maknanya kita boleh menghantar 4 orang Angkasawan Negara di dalam masa sebulan atau 48 orang Angkasawan setahun! Lebih hebat daripada orang Russia dan Amerika.


Sekiranya harga sebuah rumah kos rendah adalah sebanyak RM 42,000 sekarang, bermakna kita boleh menyediakan 10,000 buah rumah kos rendah untuk pembangunan rakyat termiskin dalam masa sebulan dan 120,000 buah rumah setahun secara PERCUMA!


Sekiranya kita memberi bantuan kemiskinan sebanyak RM 800.00 sekeluarga, kita boleh membantu 5000 warga miskin tegar selama 10 tahun akan datang tanpa gagal! Mungkin menghapuskan status miskin tegar yang dihajat-hajatkan selama-lamanya.


Sekiranya sebuah hospital canggih di bina dan di uruskan dengan nilai RM 220 juta sebuah, ini bermakna kita boleh membina lebih daripada 24 buah hospital setahun di seluruh Malaysia!

Dengan 5.4 bilion setahun...

Subsidi minyak boleh diteruskan...

Kos rawatan di Hospital diberikan percuma...

Kemiskinan dapat dikurangkan...

Semua tol boleh dihapuskan...

Kita dapat melihat pembaziran ini. Kenapa para perokok tidak?

Tuesday, November 20, 2007

Kejar Hutang Sampai ke Lubang Kubur


Assalamualaikum...

Gambar ini dikirim ke dalam email saya oleh sahabat saya seorang hamba Allah bernama Hamdy. Beliau mengambil gambar ini ketika melawat kubur. Menurutnya tapak perkuburan itu di Lembah Keramat belakang Stesen Minyak Petronas.

Gambar ini menunjukkan batu nisan yang disalut plastik yang tertulis arahan untuk menghubungi si penulis termasuk kad bisnes yang disertakan sekali di dalam plastik itu. Tujuannya untuk memberitahu keluarga si mati menyelesaikan urusan tertentu seperti hutang dengan si pengutang.

Apapun ini lah yang dikatakan orang kita - "Mengejar hutang sampai ke liang kubur".

Di dalam Surah al-Baqarah terdapat satu ayat mengenai hutang :-

"Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara
tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis" ( Al-Baqarah : 282)


Menulis secara hitam putih beserta dengan saksi adalah amalan hutang yang di dalam Islam. Ini adalah yang terbaik supaya, masalah kemudian boleh diselesaikan dengan teratur.

Sekiranya si penghutang mahu menghalalkan hutangnya maka itu adalah lebih baik dan dianggap sedekah.

Ertiya : Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 280 )


Oleh itu, jagalah hutang kita supaya tidak timbul masalah kemudian. Lebih baik semua hutang diceritakan kepada keluarga terdekat seperti suami atau isteri dan ditulis dan direkod dengan baik agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Untuk pengurusan hutang yang berkesan, apakata anda lawat blog http://www.pakdi.net/ atau terus ke link ini http://www.pakdi.net/biz/category/debt-management/.


Wallahu A'lam.

Monday, November 19, 2007

WIDGET BUCKS IS A SCAM?

Assalamualaikum...

Baru-baru ini saya ada promosikan widget bucks.. tetapi seminggu lepas saya telah terima satu email dari widgetbucks yang menyatakan saya telah menyalahi peraturan Widget Bucks kerana blog ini adalah didalam bahasa Malaysia. Ini menyebabkan semua referral fee, bonus dan earning yang saya dapat menghampiri USD 90 telah di ambil semula.

Saya telah berbincang dengan kawan blogger yang memberitahu terdapat pendapat drpd bloggers bahawa Widget bucks ialah program SCAM. Telah ramai yang mengalami nasib yang sama walaupun blog di dalam Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun kesasihannya tidak terbukti. Saya telah menghantar email kepada Widget Bucks tetapi tiada balasan.

Apa pun... kepada non-english blogs yang menggunakan widget bucks especially the one which is making money... you all will definitely getting the same email :-


This e-mail is to notify you that your WidgetBucks account has violated our terms of service and has been suspended.

Your site has violated the following provision of the WidgetBucks Terms and Conditions (http://www.widgetbucks.com/terms.page): Non-English Language Site. Our Program Policies state that you may only place widgets on pages with content that is primarily in English. You may not display WidgetBucks widgets on pages whose content is primarily in an unsupported language. Placing WidgetBucks widgets on non-English language sites without our permission is a violation of this policy.

Since you have violated these terms, your account has been suspended. Earned commissions, bonuses, and fees shall be forfeited as a result of your violation of our terms.

If you have a question or believe there has been an error, please feel free to contact us at http://support.mpire.com.

WidgetBucks Compliance Team

Menyedihkan....

Wednesday, November 14, 2007

NEONATAL JAUNDICE DAN PERAWATANNYA



Assalamualaikum Warahmatullah...

Ramai minta saya menulis artikel tentang bayi kuning atau Neonatal jaundice. Meletihkan sebenarnya menulis artikel perubatan ni sebab kena banyak berfikir, membaca semula dan membuat rujukan. Apa pun, kehadiran anda ke blog ini setiap hari membuatkan semua ini sangat-sangat berbaloi dan amat saya sanjungi. Terima kasih di atas sokongan anda. InsyaAllah akan ada artikel perubatan setiap sekali seminggu atau sekali selang dua minggu.


Pada kebiasaannya, kebanyakan bayi baru lahir dibawa ke klinik kerana penyakit kuning. Neonatal jaundice atau bayi kuning boleh mencecah sehingga 60% kelahiran. Bermakna setiap 6 orang bayi yang lahir akan menjadi kuning di dalam setiap 10 kelahiran. Dan pada kebiasaannya bayi ini menjadi kuning pada hari ke 3 selepas lahir dan semakin hilang selepas beberapa hari.



APA ITU JAUNDICE (KUNING)?
Jaundice berasal dari perkatan Perancis "jaune" yang bermakna kuning. Sel darah merah manusia yang terurai (kerana mati) menghasilkan partikel yang dipanggil bilirubin. Bilirubin ini adalah tidak larut air dan akan dihantar ke hati untuk diubah kepada menjadi larut air.

Setelah itu sebahagiannya akan dikeluarkan menjadi air kencing (Ya... sekarang anda tahu kenapa air kencing anda berwarna KUNING!!).. Sebahagiannya pula akan dibuang melaui najis melalui saluran hempedu (Ya.. sekali lagi anda sudah tahu apa fungsi hempedu dan kenapa najis anda bewarna coklat-keKUNING-kuningan!!)..


MENGAPA KEBANYAKAN BAYI MENGALAMI KEKUNINGAN?


Perkara ini seolah-olah misteri kepada kita. Kenapa kebanyakan bayi ini kuning? Ada 2 sebab utama.


1. Sel darah merah bayi (Fetal Hemoglobin)
Kajian menunjukkan sel darah merah bayi adalah berbeza dengan sel darah merah orang dewasa. Ia mudah terurai dan jangka masa hayatnya adalah pendek. Bilangannya juga berlebihan daripada biasa. Oleh itu, penguraian sel darah bayi yang tinggi menyebabkan kadar bilirubin yang meningkat pada hari ke 3.

2. Hati bayi
Hati bayi yang belum cukup matang juga menyukarkan proses penukaran bilirubin tak larut air kepada bilirubin yang larut air. Bayi pra-matang lebih cenderung terkena kuning sebanyak 80% daripada bayi lahir cukup bulan.

Ini dipanggil kekuningan secara fisiologi atau normal. Oleh itu, tidak hairanlah ramai bayi yang terkena kuning selepas 3 hari kelahiran.


APAKAH PENYEBAB LAIN JAUNDICE?

Ada banyak sebab-sebab lain untuk bayi baru lahir kuning. Sekiranya kekuningan datang terlalu awal contohnya hari pertama kelahiran, ini mungkin disebabkan oleh tersumbatnya pundi hempedu akibat kecacatan lahir (i.e biliary atresia).

Antara penyebab lain :-
  • Trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forceps atau vaccum
  • Jangkitan kuman di dalam darah (sepsis)
  • Jangkitan virus seperti Rubella atau Toxoplasma
  • Masalah Tidak Serasi dengan darah ibu (Coombs Positive)
  • Masalah dengan enzim darah merah (G6PD)
  • Hormon thyroid yang rendah (Hypothyroidism)
  • Masalah hati dan hempedu (biliary atresia, Dubin Johnson)
  • Jaundice disebabkan oleh susu ibu (setelah semua penyebab di atas telah dikenalpasti negatif)


ADAKAH JAUNDICE MERBAHAYA?

Sangat bahaya! Serum bilirubin yang berlebihan menyebabkan kernicterus. Ia adalah satu fenomena dimana bilirubin yang tidak larut tadi menembusi lapisan otak bayi yang kurang matang. Autopsi menunjukkan otak bayi yang meninggal dunia disebabkan kernicterus berwarna kuning!

Kernicterus dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Sekiranya selamat pun akan menyebabkan bayi menjadi lumpuh, pekak atau buta. Ketika di Institut Paediatrik, HKL, saya sendiri pernah melihat bayi dari satu keluarga cina mengalami sawan kerana kernicterus. Datang selepas 1 minggu kuning. Menakutkan...



APAKAH PERAWATAN UNTUK BAYI KUNING?

1. Phototherapy (Terapi lampu)



Phototherapy adalah kaedah yang paling berkesan abad ini untuk mengurangkan kekuningan bayi. Ia adalah sumber cahaya biru dengan jarak gelombang (wavelength) kira-kira 450 nm. Dengan kaedah ini, bilirubin merbahaya ditukarkan kepada bilirubin larut air untuk dinyahkan daripada badan.

Cara menggunakan phototherapy dengan berkesan :-

  • Letakkan sumber cahaya kira-kira 35 cm - 50 cm daripada bayi

  • Buka semua baju bayi kecuali lampin
  • Tutup matanya
  • Lampu dibuka setiap masa 24 jam kecuali ketika mandi, minum susu, menukar lampin dan mengambil darah
  • Alih posisi bayi setiap 2-3 jam
  • Ada kajian menunjukkan terapi lampu boleh menyebabkan bayi kekurangan air maka memasukkan air melalui salur darah adalah satu kemestian.
  • Paras bilirubin hanya hanya boleh disukat dengan pemeriksaan darah sahaja kerana pemerhatian visual tidak tepat.
  • Risiko untuk peningkatan mendadak semula (rebound effect) boleh berlaku setelah rawatan lampu diberhentikan.

2. Exchange Transfusion (ET)

ET dilakukan sekiranya rawatan lampu tidak berjaya mengurangkan paras bilirubin. Kernicterus boleh berlaku sekiranya paras bilirubin tetap tinggi. ET ialah satu rawatan di mana darah bayi dikeluarkan secara perlahan-lahan oleh doktor secara manual melalui satu prosedur ringkas dan diganti dengan darah baru yang diambil dari bank darah. Proses ini memakan masa sehingga 5-6 jam. Semasa saya bertugas dahulu di bahagian paediatrik, ini adalah satu prosedur yang kalau boleh paling saya tidak sanggup lalui.

Di HKL ia biasanya dijalankan pada waktu malam bermula pada pukul 11 malam dan tamat hampir pukul 5 pagi! Itu untuk seorang bayi!. Doktor akan mengeluarkan darah bayi dengan perlahan-lahan melalui satu tiub yang dipasang di saluran darah di pusatnya (tali pusat masih baru lagi) dan memasukkan darah baru juga secara perlahan-lahan.

Bagi seorang doktor, prosedur ini sangat sukar kerana ia dijalankan pada waktu orang lain sedang tidur, anda berseorangan ditemani oleh seorang bayi (paling kurang... kalau ada jururawat yang temankan atau tolong buat anda kopi pun best jugak kan... tapi...) dan ia prosedur yang sangat-sangat perlahan untuk mengelakkan komplikasi



CAHAYA MATAHARI VS PHOTOTHERAPY?

Adakah meletakkan bayi yang kuning dibawah cahaya sinar matahari pagi boleh mengurangkan kekuningan? Apa pendapat anda?

Ada yang berkata, "kau dulu aku letak bawah matahari tulah.. takde apa-apa pun... " atau

"Buat apa kau nak siksa budak kecik tu... masuk hospital... letak bawah lampu.. kena cucuk sana sini... letak je bawah matahari.... "

Kadang-kadang idea-idea yang meruntun jiwa ni boleh juga masuk ke benak kita dan akhirnya akan melengah-lengahkan tanggungjawab kita kepada anak kita.

Pada hakikatnya, bayi dijemur di bawah sinar matahari ketika berada di rumah. Tiada ibu-bapa yang ingin membawa anak mereka ke hospital dengan niat menjemur anak. Oleh itu, tiada pengawasan yang sewajarnya untuk bayi tersebut ketika berada di rumah. Ibu-bapa pula berada di dalam zon selesa dan perhatian kepada anak pula berkurang.

Kenapa Phototherapy lebih baik daripada menjemur bayi di bawah matahari?

  • Phototerapy bersinar selama 24 jam, menukarkan bilirubin kepada bentuk yang tidak merbahaya setiap masa kecuali waktu minum susu, tukar lampin, mandi dan ambil darah
  • Berapa lama bayi boleh dijemur di bawah matahari? Bayi hanya boleh dijemur pada waktu pagi selama 3 jam? 4 jam? paling lama 5 jam? Bagaimana dengan baki 20 jam lagi?
  • Bagaimana anda hendak memeriksa paras bilirubin sekiranya anda begitu selesa berada di rumah menjemur anak? Adakah cukup dengan pemerhatian visual anda sahaja?
  • Antara sebab kekuningan bayi meningkat ialah dehydrasi iaitu bayi kekurangan air. Sinar matahari boleh menjadikan dehydrasi bertambah teruk kerana suhunya itu. Sedangkan di hospital, dehydrasi boleh dibendung dengan menambah air melalui saluran darah.
  • Keputusan untuk mengadakan Exchange Transfusion atau ET boleh dibuat sekiranya pesakit di hospital menjalani rawatan lampu, berbanding sekiranya pesakit hanya berada di rumah.
  • Ujian darah boleh dilakukan serentak ketika menjalani rawatan lampu untuk mengenalpasti sebab-sebab kekuningan samada ia adalah jangkitan, masalah hati atau sebagainya.

SUSU KAMBING VS SUSU IBU?

Terdapat pendapat bahawa susu kambing boleh mengurangkan kekuningan yang dialami oleh bayi. Walaubagaimanapun, rata-rata pendapat mengatakan bahawa ini adalah petua orang tua-tua, cara tradisional atau mengatakan ia adalah satu keajaiban. Tidak ada penjelasan secara saintifik. Malahan, petua berjemur bawah matahari pagi mempunyai penjelasan yang lebih saintifik berbanding cerita susu kambing. Diharapkan ia bukan taktik penjual susu kambing untuk meraih keuntungan.

  • Apa yang ada pada susu kambing menjadikan ia begitu ajaib? Jika ada kajian tentang susu kambing, saya yakin ia tidak ada perbezaan yang besar dengan susu ibu atau susu lembu. Susu ibu lebih berpotensi menjadi ubat kepada penyakit kuning kerana ia makanan sempurna kepada bayi. Malahan, susu kambing mempunyai zat-zat galian yang lebih tinggi yang tidak sesuai dengan tumbesaran bayi.
  • Ada yang memberi susu kambing yang belum dipasteurkan, dinyahkuman atau dimasak!. Memberi susu kambing mentah yang tidak pasti status kebersihannya mengundang bahaya kepada bayi.
  • Perut dan usus bayi yang masih belum matang tidak sesuai diberi selain daripada susu ibu. Jika susu lembu yang telah bertahun-tahun digunakan itu pun boleh menyebabkan allergi kepada bayi, bagaimana pula susu kambing? Alahan boleh membawa maut! (Baca artikel ini oleh Pusat Racun USM)
  • Secara fisiologi, kekuningan bayi akan hilang selepas 5-6 hari walaupun dia tidak diberi minum susu kambing. Sekiranya bayi diberi minum susu kambing pun, kekuningan yang tinggi boleh menyebabkan kernicterus. Jadi tidak ada bezanya secara perbandingan.

Saya harap artikel ini boleh membantu anda meneruskan kehidupan anda dengan sedikit pengetahuan yang dapat dikongsi bersama. Apa pun keputusan anda sekiranya anda menghadapi masalah seperti di atas adalah bergantung kepada ilmu pengetahuan anda sendiri.

Neonatal jaundice seperti penyakit lain boleh mendatangkan padah kepada sesiapa yang tidak mengetahui. Sekiranya anda sangat mementingkan cara tradisional untuk merawat penyakit ini, maka itu adalah keputusan anda. Ilmu perubatan semakin meningkat maju. Janganlah disebabkan pendirian anda menyebabkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Wallahu A'lam.




Tuesday, November 13, 2007

Di sebalik Perhimpunan BERSIH - Sekadar Pandangan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru-baru ini kita digegarkan dengar perhimpunan BERSIH. Betul-betul menggegarkan. Pendekata walaupun jalan banyak yang ditutup polis, bilangan yang menyertai perhimpunan ini masih lagi menggegarkan.
Bagaimana pandangan saya sebagai seorang rakyat Malaysia tentang suasana politik di Malaysia ketika ini? Pandangan daripada orang yang tak penting seperti saya.. natijahnya adalah komen yang tidak dipedulikan. Tiada impak. Ramai sangat yang membicarakan perihal politik di Malaysia. Tak semena-mena pakcik-pakcik yang duduk di kedai kopi pun mula cakap-cakap pasal politik mengalahkan wakil rakyat dan ahli parlimen. Ada yang bersungguh-sungguh sampai menepuk-nepuk meja dan ada yang terangkat misai menandakan betapa bersemangatnya mereka menegakkan parti dan ideologi masing-masing. Begitu hebatnya penangan politik di Malaysia.

Apapun, saya insan tersangat kerdil didalam senario politik Malaysia jadi biar saya berdiam diri sahaja tanpa mengulas apa-apa buat masa ini. Namun ada perkara yang ingin saya utarakan berkenaan dengan politik juga tetapi di pentas dan arena yang berbeza. Gatal pula tangan ini nak menulis sesuatu mengenai politik tetapi pada skala yang lebih kecil. Pilihanraya sudah mula terasa bahangnya.... teringat waktu zaman belajar dahulu.

Suatu waktu dahulu, saya pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahasiswa Perubatan selama 2 penggal ketika menuntut di Kulliyyah Perubatan UIAM, Pahang. Di dalam kesempatan itu, saya juga pernah dilantik sebagai wakil Mahasiswa Perubatan ke Persatuan Mahasiswa Kampus Induk UIAM selama beberapa penggal. Oleh itu, suasana politik kampus tidak beberapa janggal bagi saya dan saya lebih selesa untuk membicarakannya.

Walaupun senarionya sangat berbeza dengan suasana politik yang sebenarnya tapi ia adalah pembuka mata. Sahabat-sahabat dan senior di dalam organisasi ketika itu termasuk Sdr Samsul Iskandar (abang Sam) yang kini orang Ketua Pemuda Keadilan, Sdr Irmohizam (Org kuat Hishamuddin), Dr Asyraf Wajdi Hj Ahmad Dusuki , Sdr Fadzli Yusof, Sdr Harith dan ramai lagi. Politik kampus sudah diwarnai dengan pelbagai macam dugaan dan cabaran sebelum politik sebenar dicanang secara di atas pentas realiti.

Masih segar di dalam ingatan, untuk mencari undi, ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mengedarkan surat layang untuk memburuk-burukkan calon lawan. Ya... ketika itu memang ada parti. Ada pro-pembangkang (ramai) dan ada pro-kerajaan (ketika itu belum lagi dipanggil pro-aspirasi).

Secara umumnya, kebanyakan mahasiswa perubatan tidak beberapa menggemari senario politik yang berlaku. Mereka lebih bersikap tidak ambil peduli dan tidak wujud politik berpartian sehingga beberapa lama. (tak pasti sekarang). Pilihanraya adalah sekadar untuk meletakkan calon untuk mewakili mereka. Itu sahaja. Tak perlulah membuang masa merentang poster atau berceramah sana-sini. Nuu minggu depan ada exam. Silap-silap ada yang fail kalau tak baca buku. Lagi bagus kalau pilihanraya calon menang tanpa bertanding. Tak payah buang masa pergi mengundi.... Itulah sebab kebanyakan doktor yang buat hal sendiri dan tak nak layan politik. Itu sebab ada doktor yang jadi menteri... cakap pun slow motion... dengar tak dengar. Takder yang cakap berdegang-degang cam ahli Parlimen Bung Raden atau Mat Sabu...

Berbeza dengan di kampus induk UIAM, terdapat "ceramah-ceramah politik" untuk calon-calon pilihanraya menyampaikan mesej-mesej dan aspirasi mereka kepada umum. Segala janji-janji pilihanraya dibentangkan dan diedarkan kepada semua. Tidak ada sekatan untuk berhimpun dan tidak perlu ada permit. Kepanasan pilihanraya dapat dirasai. Semua pelajar yang menyokong berusaha untuk membantu calon menang tanpa rasa penat dan mengharapkan apa-apa projek dan wang. Politik wang diganti dengan upah makan atau beberapa kotak rokok. Seperti biasa, pro-pembangkang menang undi dengan majoriti yang tinggi.

Yang pentingnya, di tempat saya.. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, suasana politik hangat seperti itu memang dirasai. Wujud di dalam diri mahasiswa akan kepentingan pergi mengundi calon masing-masing. Wujud ideologi tersendiri di dalam fikiran masing-masing walau apa pun ideologi tersebut tetapi ia tetap ada. Ketika itu tidak ada "tangan-tangan" pemerintah yang cuba menggagalkan usaha untuk menaikkan atau menjatuhkan calon-calon tertentu.

Agak menyedihkan sekarang, senario politik kampus di atas mungkin sudah tidak wujud lagi di Universiti di negara kita ketika ini. Pilihanraya kampus di kebanyakan Universiti sudah tidak lagi telus. Terlalu banyak percaturan oleh orang atasan sehinggakan ?pihak pemerintah pun sudah mula "gatal tangan" meraba sana dan sini. Pilihanraya kampus sudah menjadi hiasan akhbar dan mula dipolitikkan. Seantero dunia sudah tahu akan hakikat sebuah Universiti di Utara, Naib Canselornya sendiri yang memilih wakil mahasiswa. Pilihanraya sekadar cukup syarat. Di ibu negeri Selangor pun begitu juga. Mana-mana calon yang dirasakan mempunyai ideologi yang berbeza akan disekat.

Jadi lahirlah Mahasiswa lesu yang tidak berideologi ataupun ideologi ikut-ikutan. Tidak ada yang berfikiran kritikal. Yalah, belajar di Universiti pun sekadar mahu tamatkan pengajian. Dapatkan sijil, lepas tu bekerja dengan kerajaan. Berkomunikasi tidak beberapa mahir, keyakinan tiada, pengalaman untuk memimpin... kosong. Kita melahirkan mahasiswa melayu yang lemah. Nak bersaing dengan golongan bukan bumiputera pun tidak boleh? Tidak wujud sikap nak bersaing pun... Nak jadi Kiasu bak kata Prof Ungku Aziz? huh... lupakan lah...

Pada pendapat saya, ia adalah sesuatu yang positif sebenarnya sekiranya ahli politik turun bersama-sama mahasiswa berjuang untuk menegakkan parti masing-masing di pilihanraya kampus di dalam satu suasana yang terkawal. Saya rasa ia adalah satu gejala sihat kerana pilihanraya kampus sewajarnya mencerminkan pilihanraya sebenar. Namun begitu, tidak wajar ada pihak-pihak tertentu yang campurtangan secara langsung di dalam pemilihan calon tanpa membenarkan yang lain bertanding kerana berlainan ideologi? Ini sudah kes buli.

Inikah mesej yang cuba ditunjukkan oleh pihak pemerintah Universiti? Sudahlah pilihanraya Nasional yang sebenar dituduh tidak bersih... Di kampus pun sudah wujud elemen tidak bersih. Tak hairan ramai mahasiswa universiti bersama-sama memenuhi perhimpunan BERSIH tempohari. Di kotak pemikiran mereka, pilihanraya kampus pun sudah tidak lagi boleh dipercayai... Inikan pula pilihanraya yang sebenar...

Blog ini sekadar berkongsi isi saya sahaja sebagai bekas pemimpin universiti. Tidak bertujuan menyokong mana-mana parti politik. Melihat kepincangan politik kampus sekarang agak menyedihkan. Saya melihat Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya dan beberapa buah universiti lain sahaja yang masih mengekalkan bentuk pilihanraya sezaman dengan saya. Yang lain nampaknya sudah karat dan lesu.
Kepada pemimpin di atas sana, inikah mahasiswa yang ingin lahirkan? Bersihkan pilihanraya kampus...

Wallahu A'lam...

Thursday, November 8, 2007

AKU TIDAK MAHU BANKRAP!!

Assalamualaikum...

Pada tahun 1998, kes bankrap telah dilaporkan di Malaysia sebanyak 8,110. Semenjak itu, ia semakin meningkat setiap tahun.


Di dalam tahun 2005, 8% daripada 16,000 kes bankrap melibatkan mereka yang berumur di bawah 30 tahun. Daripada sumber Persatuan Pengguna Pulau Pinang, mereka yang masih muda ini bankrap antaranya disebabkan oleh hutang kredit kad, tidak dapat membayar hutang pinjaman dan rugi di dalam pasaran saham.

Manakala pada 2006, terdapat 13,596 kes bankrap telah difailkan. 1,656 atau 12.2 peratus disebabkan hutang kad kredit.


Amat mendukacitakan dan merisaukan kerana peningkatan kes bankrap juga terjadi di kalangan kita sekiranya tidak berhati-hati. Dengan mudahnya mendapat kemudahan kad kredit dan skim pembayaran mudah di pasaraya dan gedung jualan tidak mustahil kita boleh terperangkap dengan masalah ini.
Untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang permasalahan ini, artikel ini ditulis untuk menambahkan pengetahuan tentang bankrap. Ia adalah dipermudahkan kerana saya tidak mahir di dalam bahasa guaman. Sekiranya ada kesilapan sila betulkan di ruangan komen.



APA ITU BANKRAP?


Apabila anda mempunyai hutang yang melebihi kemampuan anda untuk membayarnya.
Secara mudahnya jumlah hutang yang tidak boleh dibayar sekurang-kurangnya berjumlah RM 30,000.


Mahkamah akan mengisytiharkan bankrap dan akan menugaskan Ketua Pengarah Insolvensi untuk menguruskan aset dan hutang-hutang si bankrap.


APA YANG TERJADI KEPADA SI BANKRAP?

Sekiranya anda Bankrap, anda terhalang untuk:-
  1. Tidak boleh membuka akaun termasuk akaun simpanan
  2. Tidak boleh memegang jawatan awam - seperti ahli majistret atau ahli majlis perbandaran
  3. Tidak boleh membawa kes ke mahkamah kecuali dengan izin Ketua Pengarah Insolvensi (DG)
  4. Tidak boleh keluar negara kecuali dengan izin DG atau Mahkamah
  5. Tidak boleh menjadi Pengarah Syarikat atau pengurus syarikat termasuk syarikat kepunyaan isteri atau saudara terdekat.
  6. Tidak boleh menjadi ahli atau bekerja di badan berdaftar
  7. Tidak boleh menjual rumah atau aset-aset besar yang lain.
BOLEHKAH SESEORANG MEMOHON BANKRAP SECARA SUKARELA?

Boleh. Sekiranya seseorang itu memohon untuk diisytiharkan bankrap, tiada lagi penghutang akan mencarinya kerana ia telah dilindungi oleh Mahkamah dari si pemiutang. Pemiutang tidak boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas si penghutang dan asetnya. Walau bagaimanapun si Bankrap tidak dilindungi daripada tuduhan jenayah.

APAKAH TUGAS KETUA PENGARAH INSOLVENSI?

Ketua Pengarah Insolvensi akan menguruskan kewangan mereka yang telah bankrap. Dia akan memeriksa harta dan kemampuan kewangan si Bankrap dan akan mengambil langkah-langkah untuk menjual harta untuk membayar hutang.

BERAPA LAMA BANKRAP AKAN BERAKHIR?

Apabila orang yang Bankrap membayar hutangnya dengan cara keseluruhan ataupun berjadual yang dipersetujui oleh si pemiutang, maka dia boleh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkannya daripada senarai bankrap.

Ketua Pengarah Insolvensi juga boleh mengeluarkan seseorang daripada bankrap setelah 5 tahun diisytiharkan bankrap mengikut budi bicara. Walaupun begitu, si pemiutang boleh membangkang tujuan tersebut dengan notis dan sebab-sebab mereka yang tertentu ditujukan kepada ketua pengarah.


WALLAHU A'LAM

Wednesday, November 7, 2007

DESPERATE HOUSEWIFE


Asalamualaikum....

Saya dapat artikel ini daripada kawan saya Dr. Syazni yang sekarang berkursus di Kem Terendak. Beliau adalah doktor perubatan yang mengambil biasiswa Angkatan Tentera. Beliau baru sahaja kemalangan akibat jatuh dari flying fox setinggi 100 kaki! Syukurlah hanya tulang kakinya sahaja yang patah. Dr Syazni telah menjalani pembedahan hari ini. Diharapkan segalanya selamat...

Anda usah terlalu risau kerana beliau lebih risaukan kulitnya yang menjadi semakin gelap disebabkan berkawad di tengah panas daripada kakinya yang patah (tak payah kawad dah lepas ni)... hehe

Anda boleh lawat blognya di link Dr Azwan favourites.

Cuba baca lawak nih......... Bergegaarr!!

Dear IT Support,

Last year I upgraded from Boyfriend 5.0 to Husband 1.0 and noticed a slow down in the overall performance, particularly in the flower, gifts and jewellery applications that had operated flawlessly under boyfriend 5.0.

In addition, Husband 1.0 un-installed many other valuable programs, such as Romance 9.5 and Personal Attention 6.5, but installed undesirable programs such as Formula One 5.0, NBA 3.0 and World Cup 2.0.

And now Conversation 8.0 no longer runs and House Cleaning 2.6 simply crashes the system. I've tried running Nagging 5.3 to fix these problems, but to no avail.

What can I do?


Signed,

Desperate Housewife


------------------------------------------------------------------

Reply:

Dear Desperate Housewife,

First keep in mind: Boyfriend 5.0 is an entertainment package, while Husband 1.0 is an operating system.

Try entering the command C:\ I THOUGHT YOU LOVED ME and download Tears 6.2 to install Guilt 3.0. If all works as designed, Husband 1.0 should then automatically run the applications Jewellery 2.0 and Flowers 3.5.

But remember, overuse can cause Husband 1.0 to default to Grumpy Silence2.5, Happy Hour 7.0 or Late Night Teh Tarik 6.1. Late Night 6.1 is a very bad program that will create SnoringLoudly.wavfiles.

Whatever you do, DO NOT install Mother-in-Law 1.0 or reinstall another Boyfriend program. These are not supported applications and will crash Husband 1.0.

In summary, Husband 1.0 is a great program, but it does have a limited memory and cannot learn new applications quickly. You might consider additional software to improve memory and performance. I personally recommend Hot Tasty Food 3.0 and Tongkat Ali 6.9.

Good Luck,

IT Support


Wahaaaahaaa.... !!!

Tuesday, November 6, 2007

PENCARIAN KERJA KOSONG MELALUI ALLYHUNT







Assalamualaikum Warahmatullah...

Kepada sesiapa yang ingin mencari kerja kosong, Allyhunt - Asia's No-frills jobsite merupakan satu website yang menawarkan pencarian kerja untuk semua level, pekerjaan yang khusus (specialization), bidang dan berbeza serta lokasi yang anda inginkan.

Jawatan dari non-eksekutif sehingga ke jawatan eksekutif ada ditawarkan, beserta nama company, lokasi dan gaji yang ditawarkan ada diletakkan di dalam sebuah jadual di dalam overview.

Malah terdapat pelbagai artikel menarik yang ditulis untuk mereka yang sedang mencari kerja sebagai pedoman. Salah satu artikel adalah berkenaan dengan persediaan ketika menghadapi temuduga. Menurut artikel tersebut, persedian menghadapi temuduga adalah satu persediaan yang serius termasuk pakaian dan tingkahlaku.

Anda boleh baca artikel tersebut dan banyak lagi artikel lain di website allyhunt.

Monday, November 5, 2007

"The Halal Pork"

Assalamualaikum....

Saya terkejut mendapat email ini. Email ini menyatakan bahawa terdapat "halal pork" di jual di NTUC. Saya bagaimanapun tidak pasti samada gambar ini ada menunjukkan bahawa "halal pork" ini memang sememangnya dijual di NTUC atau tidak walaupun di stickernya tertulis nama pasaraya tersebut.

Saya ada membuat sedikit research tentang NTUC dan mendapati bahawa ia adalah sebuah supermarket di bawah nama "NTUC fair price" yang berasal dari Singapura. NTUC yang pertama dirasmikan pembukaannya oleh Bekas PM Singapura Lee Kuan Yew. Terdapat banyak cawangan-cawangan NTUC ini termasuk di Australia.

Bagaimana yang haram ini boleh dihalalkan memang perkara yang aneh. Pertubuhan Islam yang mana menghalalkan daging ini juga perlu bertanggungjawab di atas kekeliruan ini.
Sekiranya benar "halal pork" ini sebenarnya "haram pork", ini menunjukkan logo halal yang tidak asli sekarang boleh dibeli dan logo halal dari luar negara tidak beberapa boleh dipercayai. Nampaknya Colgate Palmolive kena jugak tampal logo halal dari JAKIM jika hendak memikat penguna Islam Malaysia...

Walaupun begitu, sekiranya "halal pork" ini sememangnya halal - contoh dibuat menggunakan soya bean... Akan bermulalah kontroversi baru.. Boleh ke makan daging babi yang halal... !!
Wallahu A'lam
THE HALAL PORK
Fresh Pork Airflown

Pandangan di pintu masuk salah sebuah cawangan supermarket Fair Price

Thursday, November 1, 2007

NOKIA 6500 CLASSIC IDAMAN ANDA


NOKIA 6500 CLASSIC
RM 1140.00 (AP)
RM 1390.00 (ORI)
(Harga pada 1.11.2007)

Nokia 6500?? Begitu banyak yang bertanya saya mengenai handphone ini. Saya rasa ia adalah kerana kekerapan iklan yang ditayangkan di dalam TV mengenai keseronokan menggunakan Nokia 6500 ini. Malangnya, kebanyakan di dalam pasaran samada AP dan Original Zithron adalah untuk Nokia 6500 Classic sahaja. Buat masa ini, pembekal saya masih tidak lagi stok untuk 6500 sliding walaupun permintaan agak tinggi.

Nokia 6500 Classic mempunyai ciri rupabentuk yang unik dan menarik. Susuk tubuh yang digilap menggunakan aluminium, ia sangat nipis dengan ketebalan 9.5 mm sahaja (tak sampai 1 cm!! ).

Dengan adanya sambungan 3g anda boleh memuat turun pelbagai program dengan pantas.

Yang lebih menarik ialah memori dalaman (Internal Memory)dilengkapi dengan 1gb! Tiada lagi handphone sepertinya. Oleh itu, anda boleh melaksanakan segala urusan anda - mengambil gambar, video, muat turun lagu, mesej dan macam-macam lagi tanpa menggunakan memory card!

Kameranya mencapai 2 megapiksel dengan Dual LED Flash.

Dengan menggunakan hanya satu kabel port ke komputer, anda boleh mengecaj bateri, di samping memuat turun data atau memuat naik data ke komputer pada masa yang sama.. Mudah kan??
Related Posts with Thumbnails