UPDATED - 29.05.2008
Dipetik daripada harakah.
"Undian di dalam Buletin Utama menunjukkan 73% masyarakat Malaysian bersetuju dengan pendapat PKPIM. Oleh itu amat wajar Kementerian Pendidikan membuat satu penilaian terhadap saranan PKPIM memandangkan masyarakat sendiri bersuara," katanya dalam satu kenyataan.
Sungguhpun begitu Ketua Muslimat PAS Kawasan Shah Alam, Ustazah Faridah Korib kesal dengan sikap Menteri Pendidikan Dato' Seri Hishamuddin Husein Onn yang kelihatan hanya mengambil perkara tersebut sebagai remeh apabila ditanya oleh wartawan."
_____________________________________________________________
Assalamualaikum,
Pemakaian baju kurung putih jarang telah menimbulkan satu polemik baru di kalangan umum. Isu yang ditimbulkan oleh PKPIM ini sebagai wadah persatuan pelajar Islam di Malaysia saya kira memang agak relevan terutama ketika negara menghadapi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja, dengan kisah video-video klip di kalangan pelajar melayu perempuan dan lelaki dan kes-kes rogol yang berleluasa tidak kira umur mangsa.
Saudara abahfateh di dalam
blognya berkenaan isu ini menyatakan bahawa perkembangan fizikal tubuh remaja perempuan berlaku pada umur persekolahan ini. Mereka yang melihat suasana ini dan tidak dapat mengawal pandangan dan iman, boleh mengundang kepada jenayah seksual.
Menurut abahfateh, ada pelajar perempuan yang memakai tudung di sekolah akan menanggalkan tudung mereka apabila keluar dari sekolah. Ini akhirnya menampakkan pakaian dalam (coli) melalui baju kurung jarang yang dipakainya. Apatah lagi kalau warna pakaian dalam itu adalah bewarna garang seperti merah, hitam atau biru.
Saya tahu bahawa terdapat pihak sekolah yang mewajibkan memakai singlet kepada semua pelajar perempuan untuk mengatasi masalah ini. Denda akan dikenakan kepada sesiapa yang tidak memakainya. Syabas kepada mereka. Tetapi adakah semua sekolah melaksanakannya? Saya kira tidak.
PKPIM boleh mencadangkan kepada Kementerian untuk mewajibkan pemakaian singlet berlengan sebagai pakaian wajib bersama baju kurung putih sekiranya cadangannya untuk menukar warna uniform tidak berjaya. Malah PKPIM boleh membawa isu ini ke NUTP untuk diketengahkan sekiranya perlu. Saya kira memakai singlet berlengan tidak membebankan ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah berbanding menukar warna uniform seperti yang dicadangkan yang boleh melibatkan kos.
Berbalik kepada persoalan mangsa dan pemangsa. Kebanyakan pendapat yang tidak bersetuju dengan cadangan ini terdiri dari bukan melayu dan non-muslim. Kalau dipetik kenyataan di Utusan Malaysia yang menentang isu ini, selain daripada Menteri Pelajaran, Dato' Hishamuddin sendiri, rata-rata yang lainnya adalah bukan melayu dan bukan Islam yang terdiri daripada NGO. Kebanyakan NGO melayu dan Islam saya rasa bersetuju dengan pendapat ini cuma dari segi perlaksanaan sahaja mungkin ada yang berbeza pendapat. Saya masih belum mendengar pendapat NUTP lagi.
Ada pendapat yang menyatakan bahawa, mangsa rogol boleh terdiri daripada budak berumur 10 tahun dan ada juga nenek yang menjadi mangsa rogol. Bermakna semua orang boleh menjadi mangsa rogol, bukan budak belasan tahun sahaja. Jadi mereka tidak boleh disalahkan di atas tindak tanduk orang lain. Saya ingin memberi respon.
Mengikut hukum statistik, kebanyakan data yang dicatatkan ia akan menurut bentuk loceng (bell-shape). Sama ada ia "skewed" ke kanan atau ke kiri itu persoalan lain. Tetapi maksimumnya akan berkumpul di tengah.
Contohnya, kebanyakan bayi lelaki berumur 1 tahun mempunyai berat purata di dalam lingkungan 10 kg. Maknanya 100 orang bayi lelaki yang ditimbang pada umur 1 tahun, kemungkinan 80% mempunyai berat dari 9kg -11kg. Sekiranya baki 5 orang bayi mempunyai berat 13 kg dan 7 kg, bermakna mereka terkeluar daripada catatan normal berat bayi. Jadi adakah ini wajar diambil kira?. Mereka mungkin mempunyai masalah kesihatan atau kurang nutrien. Oleh itu lihatlah yang ketara (Please see the obvious!!).
Apa yang ingin saya sampaikan ialah, lihat umur mereka yang ramai menjadi mangsa rogol. Mereka adalah di kalangan umur remaja sekolah sehingga ke universiti. Menjadikan budak umur 10 tahun atau nenek 60 tahun yang dirogol patut dikurangkan sebagai asas polemik ini kerana ia mungkin kes-kes terpencil tetapi diperbesarkan di dalam akhbar. (Ini juga mencerminkan nilai masyarakat yang semakin bobrok).
Jadi adakah dengan mengawal pakaian anak-anak perempuan kita ini jenayah rogol boleh berkurang? Pendapat yang ingin dibawa ialah bukan pakaian yang patut dijaga, semua orang berhak memakai pakaian apa yang mereka ingin pakai. Itu adalah kebebasan individu. Yang terpaling penting ialah moral individu "bakal" perogol itu yang patut dipersoalkan. "Bakal" perogol ini yang patut diajar dan dididik untuk menghormati mangsa yang "akan" dirogolnya itu. Sekiranya mereka boleh diajar dan didik dengan sebaik-baiknya maka kejadian rogol ini akan dielakkan. Benarkah?
Satu persoalan di sini, bagaimana kita ingin mengenal pasti status "bakal" perogol ini dan sekaligus mengawal dan mendidik mereka?. Mereka ini boleh jadi abang, adik, bapa, bapa saudara, kawan baik, kawan2 yang tak pernah jumpa, Ustaz, Doktor, Peguam, Ahli Perniagaan... siapa yang akan mengenalpasti bakal perogol ini? Mereka boleh jadi sesiapa sahaja. Ini kerana mereka manusia biasa yang adakalanya tinggi imannya pada satu ketika dan adakalanya lemah imannya.
Persoalan seterusnya adakah adil sekiranya hanya di satu pihak sahaja yang mengawal mata dan nafsu dan di satu pihak lagi bebas dengan membuka apa sahaja yang boleh dibuka. Bagaimana dengan sifat malu yang bukan sahaja sepatutnya dididik sejak kecil tidak kira latarbelakang agama dan juga adat ketimuran. Kenapa ia tidak diambil kira.
Isu yang dibawa PKPIM pada pendapat saya adalah matang dan releven. Bukan PKPIM sahaja yang pernah mengenengahkan isu ini. Malah sebelum ini isu pakaian yang terdedah telah banyak kali dibawa dan dibincang.
Sekiranya masalah ini dilihat sebagai isu politik makanya, ia tidak akan berjaya diselesaikan kerana ia melibatkan kejatuhan populariti sesuatu individu terutama menteri. Sekiranya ia adalah isu untuk menjaga kebajikan pelajar kita, isu agama, isu adat dan budaya maka InsyaAllah ia boleh dibawa berunding.
Saya kira jika kita wajibkan setiap pelajar yang berbaju kurung memakai singlet berlengan sebagai pakaian dalam, maka ia adalah satu penyelesaian yang baik sekurang-sekurang untuk jangka pendek. Bagi jangka panjang, pemakaian baju kurung bewarna boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan dimulakan oleh kemasukan baru pelajar di tingkatan 1 (yang kebanyakannya membeli baju baru).
Saya harap pendekatan yang lebih berhikmah juga dapat diketengahkan demi menyelesaikan maslah ini.
Salam.
Artikel ini ditulis Oleh Dr Azwan untuk www.drazwan.blogspot.com.