Wednesday, April 4, 2007

Salam Perkenalan


Assalaamualaikum,

Terima kasih di atas kunjungan anda ke blog ini. Saya Shahrizal Azwan Bin Samsudin, berumur 30 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur. Saya merupakan lulusan Ijazah di dalam bidang Perubatan Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia (MBBS) dan merupakan graduan sulung UIAM di dalam bidang perubatan. Saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur sehingga Oktober tahun 2006 di mana saya akhirnya berpindah ke klinik swasta yang terkemuka di Kuala Lumpur untuk mencari pengalaman. Ayah saya Samsudin Bin Pakeh Abdul Mutti, merupakan bekas pendidik di dalam bidang elektrik di Institut Kemahiran MARA selama 30 tahun dan Ibu saya Puteh Binti Dahalan merupakan bekas staf di Dewan Bahasa dan Pustaka lebih daripada 25 tahun. Saya telah berkahwin dengan Pn. Norazah Bt Hj Mohd Tahir, seorang Pendidik dan dikurniakan 3 orang Puteri yang come lote, Nur Fateha Syahdina, Nur Annisa' Insyirah dan Nur Saleha Sofeyya.

Merawat pesakit dari semua golongan umur tidak kira bangsa dan agama memang mengujakan. Saya pernah bertugas di Jabatan Pembedahan Plastik, HKL selama lebih 3 tahun di bawah Ketua Jabatan ketika itu, Dato' (kini Datuk) Ahmad Ridzwan Arshad dan sekarang Mdm (Dr.) Normala Hj Basiron. Macam-macam gelagat manusia dapat saya lihat. Masing-masing datang dengan harapan untuk dibantu... daripada masalah kecacatan sejak lahir, kecacatan akibat kemalangan, kanser dan tak kurang juga yang sudah cukup sempurna tetapi ingin menjadi lebih sempurna... Yang mancung nak bertambah mancung... kadang-kadang ada yang 'muncung'... yelah.. kalau permintaan tak dipenuhi...
Keluar daripada HKL merupakan detik bersejarah buat hidup saya. Saya tak pasti samada saya sedih dan menyesal kerana meninggalkan satu institusi termasyhur yang mendidik saya makna kehidupan ataupun... saya begitu gembira kerana saya lebih banyak masa dengan keluarga dan diri saya sendiri... atau kata lain tak payah on-call... Entah.. perasaan itu bercampur baur.

Saya amat meminati bidang perniagaan. Minat itu timbul ketika saya bekerja sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (houseman) pada tahun 2001 di HKL... apa yang pastinya.. bidang peniagaan bukan pilihan saya ketika saya memohon belajar di Universiti dahulu. Apabila seorang taulan memperkenalkan buku Rich Dad Poor Dad karangan Robert Kiyosaki dan The Parable of The Pipeline oleh Burke Hedges (dengan niat untuk saya masuk MLM)..... saya terus berminat untuk mendalami bidang perniagaan dan pelaburan. By the way, pelawaan taulan saya untuk masuk MLM saya tolak dengan tak beberapa baik (Saya tak balas panggilannya)... Semenjak itu minat saya bertambah. Saya telah membaca pelbagai jenis buku karangan penulis tempatan dan luar negara. Mungkin saya boleh berkongsi isi kandungan buku ini dengan anda semua. Setiap sebulan saya akan memperuntukkan RM 100 atau lebih untuk membeli buku. Semuanya untuk menambahkan ilmu kewangan yang ada.

Saya seperti ramai orang melayu yang lain dibesarkan oleh ibu bapa yang bekerja dengan makan gaji. Jarang ada ibu bapa melayu yang menasihati anak-anak mereka supaya belajar tekun-tekun supaya bila dah besar nanti boleh berniaga... amat jarang sekali... apabila saya menyatakan hasrat saya untuk berniaga, tentulah jawapan dari keluarga amat skeptikal.
Saya memulakan perniagaan menjual telefon bimbit dan aksesori secara kecil-kecilan. Saya menumpang di kedai runcit Mak Long. Jadi Maklong dan adik sepupu saya bersetuju untuk menguruskan perniagaan ini. Bermodalkan RM 8000 saya mula membeli barangan-barangan keperluan untuk berniaga. Keuntungan perniagaan telefon bimbit sebenarnya tidak lah seberapa. Malah ada ketikanya kedai Mak Long dimasuki pencuri dan kad prabayar bernilai RM 1000 dicuri.... Biasalah asam garam perniagaan.... Sehingga sekarng perniagaan ini masih berjalan... Keuntungan ala kadar, boleh bayar upah pekerja, bil air dan api serta sedikit untung untuk membesar sikit demi sikit perniagaan. Senarionya, kedai telefon bimbit melambak-lambak. Setiap 100 meter ada kedai. Apabila kedai Mak Long menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli kad prabayar dan aksesori, banyak pula kedai-kedai lain yang tak boleh duduk diam... maka berpusu-pusulah pekedai-pekedai lain untuk menjual kad prabayar yang memang diketahui untungnya ciput. Pesaingan semakin hebat dan potongan kek semakin mengecil. Saya membuat keputusan untuk menceburi perniagaan lain.

Tunggu topik seterusnya... Menyertai program Streamyx...

1 comment:

Anonymous said...

"Tunggu topik seterusnya... Menyertai program Streamyx..."

join steamyx pulak ke dr. azwan?
Hati-hatilah....kalau join under program usahawan FARATECH tu....lebih byk rugi drpd untung.

Related Posts with Thumbnails